KUALA LUMPUR – Kategori Penyerang Terbaik Anugerah Bolasepak Kebangsaan 2022 (ABK22) memperlihatkan Arif Aiman Mohd Hanapi, Faisal Abdul Halim dan Darren Lok sekali lagi memonopoli senarai pencalonan.
Calon-calonnya sama seperti musim lalu.
Arif yang merupakan pemenang kategori ini pada musim lalu dijangka mendapat cabaran sengit daripada Faisal dan Darren yang dilihat beraksi dengan cemerlang bersama pasukan-pasukan masing.
Faisal yang menjadi salah seorang tunjang kekuatan Terengganu FC akan dedikasikan kepada penyokong Terengganu jika terpilih sebagai penyerang terbaik, musim ini.
Namun pemain berusia 24 tahun itu tidak meletakkan harapan yang terlalu tinggi memandangkan dua lagi pencabarnya, Arif dan Darren juga ada kemampuan tersendiri untuk meraih gelaran penyerang terbaik.
“Ini kali kedua saya disenarai pendek dan harap ada rezeki kali ini kerana saya mahu hadiahkan kepada penyokong Terengganu.
“Dua musim berada di sana, saya sentiasa mendapat kata-kata semangat dan diberikan dorongan daripada penyokong Terengganu, jadi ini sahaja cara untuk membalas sokongan mereka.
“Di atas kertas, saya sedar bukan mudah untuk menang kerana Arif dan Darren juga bukan sebarangan pemain kerana bermain dengan cukup baik pada musim ini.
“Sesiapa sahaja yang menang, saya akan tetap gembira kerana berada dalam kalangan tiga terbaik sekali lagi, tetap satu pengiktirafan terbesar,” katanya.
Sementara itu, Darren sekali lagi terharu apabila terus diiktiraf sebagai tiga penyerang terbaik sambil menyifatkan musim 2022 antara detik terbaik dalam karier.
Malah dia mengucapkan jutaan terima kasih kepada PJ City FC yang memberikan platform kepada dia dan pemain tempatan untuk menunjukkan potensi masing-masing.
“Sudah pasti ini satu saat yang membanggakan kerana mendapat pencalonan penyerang terbaik, bersaing dengan ramai pemain berbakat di Liga Malaysia.
“Musim ini saya sangat gembira kerana dapat beraksi baik tetapi saya belum berpuas hati dengan mahu meletakkan sasaran yang lebih tinggi pada musim depan.
“Kepada PJ City, saya mahu ucapkan terima kasih kerana membuka ruang untuk bermain dalam dua musim ini bersama pemain-pemain tempatan lain selain tidak dilupakan rakan sepasukan, tanpa anda semua tidak mungkin saya boleh dicalonkan.
“Saya rasa Arif Aiman dan Faisal Halim juga berpeluang cerah memenangi anugerah ini kerana mereka telah memainkan peranan masing-masing malah kedua-duanya sangat berbakat besar,” katanya.
Musim ini, Faisal yang diturunkan dalam 30 perlawanan berjaya menghasilkan 11 gol dan 14 bantuan jaringan manakala Arif meledak 8 gol disusuli 16 bantuan jaringan dari 31 perlawanan.
Manakala Darren berjaya menjaringkan 12 gol dan dua bantuan jaringan dari 24 perlawanan sepanjang musim ini bersama PJ City.
ABK22 bakal berlangsung esok pukul malam yang akan disiarkan di unifiTV 701, unifi playTV, YouTube unifi dan Facebook Live MFL dengan 16 kategori akan dipertandingkan secara keseluruhan. – MalaysiaGazette