Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bercakap pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP) Bilangan 3 Tahun 2022 di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 13 DISEMBER 2022.

PUTRAJAYA – Negara dijangka akan mengalami hujan lebat berterusan mulai 17 Disember ini yang mungkin membawa kepada banjir besar kepada tiga kawasan yang memiliki taburan hujan tinggi.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, fenomena luruan monsun akan melibatkan kawasan seperti Pantai Timur Semenanjung, Pantai Timur Sabah dan Pantai Barat Sarawak.

Beliau berkata, ramalan itu berdasarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) walaupun terdapat jangkaan musim banjir akan bermula pada pertengahan November lalu.

“Kerajaan Persekutuan akan mengambil pendekatan proaktif dalam berdepan banjir tahun ini bagi mengelakkan kehilangan nyawa dan kerosakan harta benda.

“Justeru, Pusat Pemindahan Sementara (PPS) akan diaktifkan lebih awal di kawasan yang dijangkakan mengalami jumlah taburan hujan tinggi dan boleh mengakibatkan banjir.

“Ini adalah langkah baharu dan ini bagi mengelakkan kehilangan nyawa, kerosakan harta benda atau kehilangan dokumen penting,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat di Bangunan Perdana Putra di sini hari ini.

Ahmad Zahid turut memberi jaminan kerajaan akan memberi layanan sama adil kepada negeri-negeri yang tidak sehaluan dengan Kerajaan Persekutuan.

Tegas beliau, ini kerana kesaksamaan dan keadilan perlu diutamakan kerana ia melibatkan nyawa rakyat dalam usaha menyelesaikan masalah mereka.

“Tindakan ini juga selari dengan hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di mana pendekatan untuk rakyat perlu buta warna demi keadilan semua,” katanya.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid turut mengesahkan, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) kekal sebagai agensi penyelaras bencana termasuk banjir.

Beliau menolak cakap-cakap bahawa agensi itu akan dibubarkan dan Majlis Keselamatan Negara akan mengambil alih peranan itu.

“Saya mewujudkan NADMA, saya tidak sepatutnya menutupnya,” katanya.

NADMA ialah sebuah agensi di bawah Pejabat Perdana Menteri. –  MalaysiaGazette