Muhammad Razmee (kanan) menunjukkan pek makanan awal retort kepada Datuk Armizan Mohd Ali di SMK Seri Semantan hari ini.

TEMERLOH – Hampir setiap tahun banjir  menjadikan Pahang sentiasa berusaha menambahbaik  dalam usaha memberi perkhidmatan kepada mangsa banjir.

Terkini, sebanyak 6,000 pek makanan awal yang menggunakan teknologi retort untuk diberikan kepada mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah ini.

Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Muhammad Razmee Abd Razak berkata, Pahang merupakan perintis dalam menyediakan pembungkusn makanan berpeket menggunakan teknologi yang membolehkan makanan tahan lebih lama sehingga 24 bulan.

Menariknya pek pembungkusan retort yang sinonim dengan rutin askar itu juga dibekalkan kepada para petugas banjir di kawasan Zon Merah di Pahang.

“Sebelum ini sebanyak 2,000 pek makanan awal ini telah diagihkan kepada pangkalan hadapan sebagai persediaan menghadapi musim tengkujuh di Temerloh.

“Hari ini, tambahan lagi 4,000 pek makanan awal dibekalkan kepada mangsa banjir di negeri ini,” katanya ketika ditemui di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Semantan hari ini.

Tambah Razmee, JKM akan membekalkan setiap mangsa berdaftar dengan pek makanan awal sebelum mereka dihidangkan dengan makanan bermasak oleh pihak katerer.

Penggunaan pek makanan awal seberat 400 gram per pek itu juga selamat penggunaannya selain hanya mengambil masa singkat bagi penyediaannya diterima  baik oleh pengguna.

Selain menjimatkan masa dan mudah penyediaannya, makanan berteknologi retort tidak akan basah walaupun terkena hujan berbanding makanan dimasak yang dibekalkan kepada mangsa banjir sebelum ini.

“Pek makanan awal ini mengandungi nasi dan lauk ayam merah bagi hidangan seorang makan dan ia sangat menjimatkan masa kerana hanya mengambil lima minit sahaja untuk sedia dimakan.

Pada Septermber lalu, Kerajaan Negeri Pahang  juga telah membelanjakan sekurang-kurangnya RM47 juta bagi persediaan musim tengkujuh.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, peruntukan tersebut digunakan bagi membeli aset seperti bot dan pembinaan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) kekal di Maran.

Kerajaan negeri turut menyediakan tapak pendaratan helikopter di Lipis bagi membantu memudahkan urusan penghantaran barang keperluan kepada mangsa banjir selain penyediaan sistem pengesanan pergerakan tanah di Cameron Highlands. – MalaysiaGazette