Datuk Seri Anwar Ibrahim.- Foto HAZROL ZAINAL, 27 NOVEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan meneliti kaedah campur tangan bekalan makanan di peringkat pengguna.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, isu bekalan menjadi tumpuan utama kerajaan kerana kekurangan bekalan akan memberi dampak yang buruk.

Isu tersebut antara yang dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup (NACCOL) Bil 4 untuk tahun 2022 yang berlangsung hari ini.

Katanya, Kabinet yang bermesyuarat esok akan membuat keputusan mengenai kaedah campurantangan berhubung bekalan makanan kepada rakyat.

“Kerajaan akan mempertimbangkan untuk meneliti kaedah campur tangan kerajaan di peringkat pengguna.

“Mesyuarat NACCOL telah membincangkan perkara ini dengan panjang lebar dan beberapa ikhtiar telah disyorkan.

“Perkara ini akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri dan Kabinet akan membuat keputusan esok,” kata Anwar dalam kenyataan.

Anwar berkata, sektor penternakan negara telah lama mencapai tahap yang mampan untuk memenuhi permintaan tempatan dan berupaya untuk mengeksport.

Kerajaan katanya, berhasrat untuk memudahkan industri tersebut untuk mengeksport ke luar produk yang dihasilkan,

Selain itu, kerajaan juga mahu memastikan sektor penternakan menghasilkan bekalan yang cukup untuk keperluan rakyat.

Ini termasuk menjamin bantuan yang lebih besar dan bersasar, terutamanya kepada pengusaha tempatan.

Sementara itu sebanyak tiga kertas telah dibentangkan dalam Mesyuarat NACCOL hari ini.

Mesyuarat berkenaan mengupas isu, tentangan dan strategi secara bersama oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim dan Kementerian Perladangan dan Komoditi.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Haji Yusof, semua menteri yang berkaitan serta Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Mesyuarat itu turut dihadiri pegawai tertinggi kerajaan dan agensi kerajaan diketuai oleh Gabenor Bank Negara Tan Sri Nor Shamsiah Yunus serta ketua-ketua setiausaha kementerian.-MalaysiaGazette