KUANTAN – Senarai portfolio Exco Kerajaan Negeri Pahang akan diumumkan esok.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, senarai bidang tugasan itu kini sudah peringkat akhir pemilihan oleh pihaknya.
“Pemilihan portfolio Exco mengambil kira latar belakang, pencapaian dan kemampuan bidang tugasan masing-masing.
“Insya-Allah mereka boleh jalankan tugas yang ditetapkan dengan baik,” katanya.
Wan Rosdy berkata demikian ketika ditemui sejurus penutupan Program Pahang Plantations and Commodities Festival and Symposium 2022 dan Pahang Commodities Exhibition of Innovation and Technology 2022 di Kompleks Yayasan Pahang, Kuantan hari ini.
Difahamkan pengumuman tersebut akan dibuat secara rasmi oleh Wan Rosdy pada pukul 9 pagi di Wisma Sri Pahang, Kuantan.
Pada 2 Disember lalu, 10 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Negeri Pahang mengangkat sumpah sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco) membabitkan lapan ADUN Barisan Nasional (BN) dan dua dari Pakatan Harapan (PH) itu berlangsung di hadapan Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al- Sultan Abdullah di Istana Abu Bakar, Pekan.
Lapan ADUN BN yang mengangkat sumpah ialah Datuk Mohd Nizar Mohd Najib (Peramu Jaya), Datuk Seri Ir. Mohd Soffi Tan Sri Abd Razak (Benta),Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad (Kerdau), Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff (Bebar),Tuan Ir Razali Kassim (Muadzam Shah), Datuk Seri Johari Harun (Pelangai), Datuk Sabariah Saidan (Guai) dan Fadzli Mohamad Kamal (Dong).
Manakala ADUN mewakili Pakatan Harapan (PH) pula adalah Sim Chon Siang (Teruntum) dan Leong Yu Man (Triang). – MalaysiaGazette