KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau memuji perspektif politik Datuk Seri Anwar Ibrahim serta keupayaannya mewujudkan gabungan politik yang besar selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Perdana Menteri atas kejayaan yang dianggap ‘rumit’ itu.
“Namun saya sangat gembira kerana Malaysia mempunyai suara yang lantang,” katanya dalam perbualan telefon bersama Anwar hari ini.
Rakaman video perbualan telefon bersama Trudeau itu dikongsi dalam laman Facebook Anwar.
Trudeau memberitahu, Kanada amat menghargai sokongan Malaysia selama ini khususnya di peringkat ASEAN dan negaranya berhasrat untuk memperkukuhkan lagi hubungan daripada segi perdagangan, pelaburan dan keselamatan.
“Walaupun Kanada di Barat, kami masih sebuah negara Pasifik dan saya fikir terdapat peluang yang besar untuk kita mempertingkatkan dagangan dua hala.
“Kita juga berdepan cabaran domestik yang sama seperti inflasi, (kos) harga makanan dan tenaga, yang dihadapi oleh semua negara di dunia tetapi kerjasama dengan negara-negara rakan untuk memperkukuhkan peluang perdagangan adalah baik untuk rakyat,” jelasnya.
Trudeau juga percaya langkah Malaysia meratifikasi Perjanjian Perdagangan Bebas Perjanjian Komprehensif dan Progresif untuk Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) membolehkan Kanada meneroka lebih banyak peluang perdagangan dan kerjasama.
Sementara itu, Anwar dalam perbualan telefon tersebut menyatakan penghargaan atas sokongan diberikan oleh Kanada dan Trudeau.
Perdana Menteri turut menyifatkan Kanada sebagai sebuah negara yang penting bagi Malaysia.
“Dengan sokongan itu, saya akan memastikan kementerian-kementerian yang berkaitan akan memberi fokus terhadap Kanada, banyak yang kita boleh kongsi bersama.
“Kami menghargai pengalaman anda dan saya fikir Kanada boleh menyumbang dari segi kebertanggungjawaban demokrasi, memperkukuhkan institusi serta perdagangan dan pelaburan ke Malaysia,” katanya.
Dalam hantaran Facebook yang sama, Anwar mengulas, mereka juga membincangkan potensi kerjasama baharu antara Malaysia dan Kanada dalam pelbagai lapangan termasuk pendidikan, tenaga boleh diperbaharui serta hubungan sesama insan.
Katanya, kedua-dua pihak turut memperbaharui komitmen untuk meningkatkan hubungan dua hala Malaysia-Kanada ke tingkat yang lebih tinggi.
“Malaysia dan Kanada telah menyaksikan peningkatan dalam hubungan kerjasama dua hala sejak terjalinnya hubungan diplomatik pada 1957, dengan nilai dagangan dua hala mencecah RM10.58 bilion pada 2021, manakala nilai pelaburan Kanada dalam sektor pembuatan Malaysia dalam tempoh 40 tahun kebelakangan adalah RM789 juta,” katanya. – MalaysiaGazette