DALAM kehidupan seorang muslim, ajaran Islam mempunyai peranan dan pengaruh yang besar sebagai sumber nilai dan norma yang mengawal tindakannya. Sesuailah dengan peranan agama ini yang menjadi petunjuk dalam segenap aspek kehidupan. Sehubungan itu, Islam mempunyai pengaruh yang signifikan dalam legitimasi sosial serta kehidupan politik dalam masyarakat. Melihat kepada kerancakkan suasana politik semasa di tanah air, Islam dalam konteks pengamalan dan anutan kerap kali menjadi sandaran oleh golongan politik yang terlibat sama ada untuk dijadikan sebagai hujah memperjuangkan parti politik yang diwakili mereka mahupun membidas ideologi politik lain yang tidak sehaluan. Seolah, masing mempunyai versi “Islam” yang tersendiri. Ini dapat dilihat melalui slogan “Islam Moderat” dalam pembawaan aliran tertentu dalam wacana politik semasa. Justeru, timbul persoalan tentang apa sebenarnya yang hendak dimaksudkan dengan “Islam Moderat”.
Menurut Maszlee Malik, ideologi Islam moderat ini mula diimplementasikan oleh pemimpin muda dan progresif dalam gerakan Islam. Sehingga ke hari ini, ideologi yang bersifat inklusif, universal dan selari dengan demokrasi menjadi pegangan kebanyakan gerakan Islam moderat di dunia termasuk Malaysia. Namun begitu, ideologi pemikiran yang ditonjolkan oleh pendokong “Islam Moderat” ini telah menimbulkan pelbagai tanda tanya dalam pelbagai lapisan golongan masyarakat. Adakah istilah yang digunakan ini merupakan bentuk perjuangan hasil terjemahan versi Barat atau Islam moderat ini adalah bentuk kefahaman terhadap siasah Islam menurut versi acuan tertentu? Persoalan-persoalan sebegini timbul dek kerana kekeliruan masyarakat yang kurang
jelas terhadap bentuk Islam yang bagaimana yang ingin diimplementasikan oleh mereka.
Hal ini kerana, setiap daripada masyarakat Islam sudah diajar dan ditanam dalam akar pemikiran mereka bahawa syariah yang diutus kepada sekalian umat manusia ialah syariah yang satu iaitu bersumberkan al-Qur’an dan Hadis. Bahkan lebih terang lagi bersuluh moderasi yang diterapkan dalam Islam dengan menjadikan kedua-dua sumber tersebut sebagai sumber utama di samping sumber-sumber lain yang turut dijadikan rujukan telahpun menonjolkan moderasi agama ini. Maka, apakah sebenarnya bentuk kefahaman sesetengah pihak dalam wacana politik yang ingin dimanifestasikan melalui Islam moderat yang rancak diperkatakan ini?
Golongan yang lantang memperjuangkan Islam moderat ini majoritinya daripada kumpulan yang tidak dapat menerima wajah Islam sebenar yang menekankan pelaksanaan syariat serta penyatuan agama dalam wacana politik. Sebahagian daripada kumpulan ini tidak senang duduk apabila melihat golongan tertentu seperti orang Melayu dan beragama Islam yang semakin menyedari agenda anti-Islam yang dibawa mereka secara halus dalam pentas politik tanah air sehingga menimbulkan kebencian terhadap mereka. Memahami realiti tersebut, mereka memilih untuk menzahirkan bentuk pemikiran dan pembawakan mereka yang diterjemahkan melalui pelaksanaan Islam moderat ini.
Bagi penganut idealisme ini, mereka menganggap bahawa Islam moderat adalah versi Islam yang mendokong demokrasi sepenuhnya termasuk pluralisme dan hak asasi manusia secara mutlak. Islam moderat juga menolak konsep negara Islam dan penguatkuasaan undang-undang syariah, mendokong idea kesamarataan gender, bersetuju Islam tidak wajar dianggap lebih tinggi berbanding agama lain dan mempertahankan kebebasan untuk keluar meninggalkan Islam. Disebabkan oleh sifat serta dasar yang sama dibawa oleh Islam moderat ini, masyarakat jelas melihat bahawa golongan ini merupakan golongan yang sama memperjuangkan pemikiran Islam Liberal. Angel Rabasa menyebut, seseorang yang liberal adalah seorang yang moderat, iaitu bersedia menerima ideologi, budaya dan peradaban Barat serta bersedia melepaskan diri dari ideologi, budaya dan peradaban yang bertentangan dengan prinsip-prinsip Barat. Menurut Jabatan Agama Islam Selangor pula, pemikiran Islam Liberal lahir sebagai sebuah rumusan atau gagasan pemikiran para pemikir Islam yang moderat dalam usaha mereka untuk menjenamakan dan mengharmonikan semula imej Islam yang tercemar dengan imej atau momokan sebagai agama teroris, fanatik dan anti Barat serta anti pemodenan.
Daripada perspektif yang berbeza, pembawakan Islam moderat khususnya dalam politik ini merupakan langkah yang dianggap realistik oleh sekelompok ilmuwan yang berpandangan bahawa agama Islam perlu dibela dengan bergerak atas landasan pemikiran liberal dan progresif. Mereka berpendapat bahawa Islam moderat ini penting untuk mendapatkan kepercayaan khususnya daripada masyarakat mahupun negara anti-Islam daripada tanggapan bahawa Islam ini adalah agama yang radikal, dipenuhi teroris dan memberi ancaman kepada kestabilan politik negara mahupun dunia. Pembawakan Islam moderat ini sering ditunggang dan disinonimkan dengan penerapan asas yang sangat ditekankan dalam Islam iaitu nilai wasatiyah. Kecelaruan timbul dalam kalangan masyarakat terhadap pembawakan yang ditekankan melalui Islam moderat ini sama ada langkah tersebut merupakan solusi sebenar bagi meruntuhkan persepsi negatif golongan bukan Islam terhadap agama Islam atau sekadar retorik semata-mata supaya dapat mencucuk jarum pemikiran yang memperlihatkan bahawa agama Islam ini setaraf dengan agama lain dan tidak boleh diletakkan di kedudukan teratas.
Jika diperhatikan, negara-negara berkuasa besar seperti negara Barat akan memberikan perhatian dan menyatakan tanda sokongan yang jelas kepada mana-mana negara yang mengamalkan dan berpegang dengan Islam moderat seperti negara Islam. Situasi ini sedikit sebanyak mendatangkan kegusaran kerana negara Barat yang kebanyakannya merupakan negara Islamofobia berupaya untuk menganggu gugat keamanan dan kestabilan negara yang sememangnya menjadikan agama Islam sebagai dasar perlembagaan serta pemerintahan negara. Bentuk pemikiran, pengamalan budaya serta penerapan agama dalam masyarakat di Malaysia adalah berbeza daripada masyarakat di negara lain yang tidak mempunyai kepelbagaian kaum dan agama. Perbezaan ini merupakan suatu asas yang amat dititikberatkan dalam pembentukan dasar dan pembawakan negara sama ada dalam konteks kemasyarakatan mahupun politik.
Pelbagai pendekatan telah diambil oleh pemimpim untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang aman dan terhindar daripada pelbagai bentuk ekstrimisme yang sangat menggugat kesejahteraan negara kini. Penggunaan konsep wasatiyah dalam mengamalkan sikap toleransi dalam hubungan bermasyarakat sangat penting dan tidak boleh diketepikan dalam usaha mewujudkan keamanan dalam negara majmuk ini. Akan tetapi, jangan disebabkan konsep tersebut merupakan nilai asas dalam Islam, sanggup ditunggang dan dipakai sewenang-wenangnya demi kepentingan peribadi mahupun politik sehingga menyesatkan dan menyimpang daripada ajaran Islam yang sebenar.
Oleh: Aminun Nabil Ahmad Shahir
Graduan Jabatan Fiqh dan Usul (Program Astronomi Islam),
Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya &
Muhammad Safwan Harun (Ph.D)
Pensyarah Kanan, Jabatan Fiqh & Usul, Akademi Pengajian Islam,
Universiti Malaya