SERDANG – Seramai 16 individu telah dipanggil dan dirakam keterangan oleh polis berhubung siasatan kes dakwaan murid dikasari ketika terlibat dalam kem motivasi di siniĀ pada awal November lalu.
Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner A A Anbalagan berkata, mereka yang diambil keterangan terdiri daripada 10 murid sekolah, tiga wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menganjurkan kem berkenaan serta tiga wakil pihak sekolah tersebut.
Katanya, kertas siasatan kes berkenaan telah dilengkapkan oleh polis dan sudah diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya pada Selasa lalu untuk arahan tindakan lanjut.
“Setakat ini, masih belum ada sebarang tangkapan dibuat dalam kes ini dan siasatan lanjut sedang diteruskan polis,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Media sebelum ini melaporkan kira-kira 60 murid Tahun Lima yang menghadiri kem motivasi selama dua hari anjuran sebuah NGO telah pulang ke rumah dalam keadaan lemah dan menangis selepas menyertai kem motivasi itu.
Para peserta kem itu mendakwa fasilitator berkenaan melakukan kekasaran dengan mencekik dan menolak ke dinding serta dipukul dengan penyapu.
Anbalagan dalam kenyataan awal berkaitan kes itu berkata, pihak polis telah menerima sebanyak empat laporan daripada ibu bapa murid yang berkenaan pada 5 Disember lalu.
Murid berkenaan mendakwa mereka dikenakan tindakan fizikal seperti disembur dengan air di tengah padang sekolah dengan hanya berseluar dalam, dihukum melakukan ketuk ketampi hanya kerana berbual serta dipukul dengan penyapu oleh fasilitator semasa menjalani kem motivasi itu.
“Kes ini sedang disiasat mengikut Seksyen 31 Akta Kanak-Kanak 2001,” tegasnya. – MalaysiaGazette