KUALA LUMPUR – Pertahanan semakin meningkat naik Terengganu FC, Azam Azmi Murad sama sekali tidak menduga namanya boleh tersenarai dalam kalangan tiga terbaik bagi kategori Pemain Muda Terbaik Anugerah Bolasepak Kebangsaan 2022 (ABK22).
Jelasnya, bersaing bersama dua pemain yang telah dikenali iaitu Arif Aiman Mohd Hanapi (Johor Darul Ta’zim) dan Mukhairi Ajmal Mahadi (Selangor FC), sudah menjadi satu kejayaan buat dirinya sambil tidak meletakkan sebarang harapan terlalu tinggi untuk meraih anugerah berkenaan.
Bagi Azam, pencalonan itu merupakan satu pengiktirafan kepada pemain-pemain di bahagian pertahanan memandangkan posisi itu sering kali kurang diberi perhatian jika bersaing secara terbuka dengan penyerang dan pemain tengah.
“Selepas apa yang saya pamerkan sepanjang musim ini bersama Terengganu, saya rasa sangat berpuas hati kerana semakin mendapat tempat dalam kesebelasan utama dan memang tidak menjangka boleh tercalon di ABK22.
“Terima kasih kepada jurulatih (Nafuzi Zain) dan pasukan Terengganu yang sentiasa mempercayai saya, musim 2022 antara detik paling manis dalam karier.
“Berada dalam kelompok tiga terbaik sudah menjadi satu kepuasan tersendiri kerana bukan mudah sebenarnya bersaing dengan ramai lagi pemain hebat di luar sana.
“Bersaing dengan Arif dan Mukhairi, bagi saya sememangnya pasti sengit untuk menang memandangkan mereka berdua antara pemain yang hebat.
“Namun, pencalonan itu sekurang-kurangnya memberikan penghormatan kepada pemain pertahanan kerana perhatian sering kali diberikan kepada pemain di bahagian serangan,” katanya.
Musim lalu, kategori ini menjadi milik Arif Aiman yang akan cuba mempertahankan sekali lagi kemenangan selain turut menggondol Pemain Paling Bernilai (MVP).
Pertahanan kanan Terengganu itu menjadi antara bintang dalam pembikinan Terengganu pada masa depan selepas sering kali menjadi pilihan utama oleh Nafuzi.
Kekuatannya dalam situasi bertahan selain sering kali memberikan bantuan semasa melakukan serangan dengan larian-larian pantas, menjadi nadi penting kepada gerakan sebelah kanan pasukan Terengganu.
ABK22 akan disiarkan secara langsung pukul 9.00 malam ini dengan 16 kategori secara keseluruhan akan dipertandingkan.
Antara kategori utama yang bakal menjadi perhatian ialah penjaga gol, pertahanan, pemain tengah, penyerang, jurulatih, pemain import, gol terbaik dan pasukan terbaik selain MVP. – MalaysiaGazette