PUTRAJAYA – Lebih 500 anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) akan ditempatkan di sempadan negara untuk membantu agensi keselamatan Pasukan Gerakan Am (PGA) mengawal dan melindungi keselamatan sempadan negara daripada diceroboh.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, mereka akan terlibat tugas menjaga keselamatan sempadan di lima pintu masuk utama negara.
Katanya, pada masa ini seramai 90 orang anggota RELA terlibat dalam projek rintis di kelima-lima pintu sempadan negara itu, katanya dalam sidang media bersempena Lawatan Rasmi Menteri Dalam Negeri ke Ibu Pejabat RELA hari ini.
Tambah Saifuddin, lima negeri terlibat dalam penempatan anggota RELA adalah di Sabah, Sarawak, Selangor, Kelantan dan Perlis.
Malah beliau juga menambah, mereka juga akan dibekal dan dilengkapkan dengan senjata api.
Katanya, anggota RELA sememangnya mempunyai keupayaan latihan mengendalikan senjata api dan disediakan dengan kelengkapan aset untuk bertugas di sempadan negara yang ditetapkan.
“Apabila sesuatu operasi itu memerlukan penggunaan senjata api maka mereka memang disediakan dengan senjata api.
“Lagi pun, kita juga ada pusat latihan sendiri yang mana pengambilannya ikut jadual, apabila mereka tamat latihan yang diberikan, mereka akan ditempatkan di sempadan negara yang merupakan satu proses berterusan yang akan ditambah jumlah keanggotaan dari semasa ke semasa mengikut keperluan dan permintaan.
“Latihan rintis selama sebulan telah diberikan untuk anggota rintis 90 orang mulai Oktober 2020 dan mereka dilibatkan dalam projek rintis bermula November tahun yang sama dan diteruskan sehingga kini,” katanya lagi.
Tegasnya, penempatan anggota RELA sejajar dengan kemahuan dan kesungguhan mereka yang mengharapkan tugasan yang lebih kompleks, besar dan berat untuk bertugas di lapangan selain tugas hakiki terlibat tugas banjir dan menjaga keselamatan dan harta benda mangsa banjir.
Dalam satu lagi perkembangan mengenai kesiapsiagaan menghadapi Monsun Timur Laut di Pantai Timur, Saifuddin memaklumkan bermula 15 Oktober hingga 14 Disember lalu, seramai 188,303 anggota RELA dilibatkan dalam tugas rondaan dan kawalan di keselamatan di kawasan banjir dan Pusat Pemindahan Sementara (PPS)
Katanya, lokasi banjir yang terlibat adalah di empat negeri iaitu Daerah Temerloh, Pekan dan Bera di Pahang; Hilir Perak dan Mualim di Perak, Rantau Panjang dan Pasir Mas di Kelantan dan akhirnya Segamat dan Kota Tinggi di Johor. – MalaysiaGazette