Idrus Harun

KUALA LUMPUR – Kejutan mungkin berlaku dalam masa terdekat dengan pelantikan Peguam Negara (AG) yang baharu bagi menggantikan Tan Sri Idrus Azizan Harun.

Akhbar TheStar yang menggunakan sumber tertinggi kerajaan hari ini mendedahkan, tiga nama telah dikemukakan setakat ini kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong (YDPA).

Sumber itu juga mendedahkan, tiga nama yang kemungkinan besar akan dapat mengisi tempat Idrus Harun itu adalah hakim Mahkamah Rayuan dan dua dari Mahkamah Tinggi.

Nama yang di sebut-sebut itu ialah Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin, Datuk Seri Kamaludin Md Said dan Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh.

Pelantikan itu juga berkemungkinan besar akan dilakukan oleh Anwar agar beliau dapat menumpukan kepada perkara-perkara yang lain, kata sumber itu kepada TheStar.

Untuk makluman, Idrus dilantik semula sebagai Peguam Negara untuk tempoh setahun pada 6 Mac lepas selaras dengan Fasal (1) Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan.

Idrus sebelum ini adalah bekas Hakim Mahkamah Persekutuan dilantik sebagai Peguam Negara dengan kontrak dua tahun bermula 6 Mac 2020.

Hakim Kamaludin pernah dilantik sebagai Pesuruhjaya Kehakiman pada 1 November 2012 dan berkhidmat di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sehingga 11 September 2014.

Beliau kemudiannya dinaikkan pangkat sebagai Hakim Mahkamah Tinggi dan kemudian berkhidmat di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan Seremban sehingga 2018.

Kamaludin telah dinaikkan pangkat sebagai Hakim Mahkamah Rayuan (Rayuan dan Kuasa Khas) pada 27 April 2018 dan kini bertanggungjawab dalam semakan kehakiman.

Seorang lagi calon, Hakim Ahmad Fairuz merupakan Timbalan Ketua Eksekutif Suruhanjaya Sekuriti (SC) dari 1 Apr 2016 hingga 29 Mac 2018.

Pada 30 Mac 2018, beliau dilantik sebagai Pesuruhjaya Kehakiman di Mahkamah Tinggi dan pada 25 Mac tahun ini, beliau disahkan sebagai hakim penuh Mahkamah Tinggi di bahagian komersial.

Manakala Hakim Wan Ahmad Farid pernah membuat kejutan apabila menarik diri daripada mendengar permohonan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak permohonan Queen’s Counsel (QC), Jonathan Laidlaw.

Wan Ahmad Farid terpaksa menarik diri memandangkan salah seorang daripada ahli keluarganya adalah Ketua Bahagian UMNO di sebuah negeri Pantai Timur.

Beliau merupakan mantan Ahli Dewan Negara pada 2008 dan selain pernah menjawat jawatan Timbalan Menteri Dalam Negara dan kemudiannya meletak jawatan bagi bertanding sebagai calon Barisan Nasional (BN). -MalaysiaGazette