cockeyed molest GrabFood rider Tamarind Square Cyberjaya
ACP Wan Kamarul Azran Wan Yusof

KUALA LUMPUR – Tindakan seorang tekong darat yang menjadikan sebuah rumah townhouse (rumah bandar) sebagai transit menyembunyikan pendatang asing tanpa izin (PATI) akhirnya terbongkar.

Seramai 42 PATI yang telah disembunyikan sejak 9 Disember lalu ditahan dalam serbuan mengejut yang dijalankan di Jalan Cyberia 2, Cyberjaya dekat sini Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang telah membuat operasi itu bertindak atas maklumat berkaitan kegiatan pengedaran dadah.

Bagaimanapun katanya, hasil serbuan  itu membawa kepada penahanan PATI yang terdiri daripada 26 lelaki, 15 wanita serta seorang kanak-kanak lelaki warga Indonesia ditempatkan dalam dua buah bilik berasingan di kediaman yang disewa suspek tekong darat itu sejak awal Disember ini.

“Selepas memecah masuk ke dalam townhouse itu pemeriksaan anggota mendapati suspek utama seorang lelaki warga tempatan berusia 42 tahun yang disyaki  tekong darat bertanggungjawab atas penyeludupan itu telah berjaya melarikan diri dengan terjun menerusi pintu belakang kediaman tersebut.

“Pemeriksaan lanjur di dalam rumah membawa kepada penemuan seramai 42 PATI warga Indonesia yang disembunyikan di dalam dua buah bilik berasingan,” katanya dalam sidang media hari ini.

Polis juga melakukan rampasan dadah jenis syabu seberat 0.24 gram dan wang tunai berjumlah RM7,000 milik suspek tersebut,” katanya.

Tambah Wan Kamarul, suspek yang berperanan sebagai tekong darat terlibat dalam penyeludupan PATI dan dadah yang melarikan diri bagaimanapun telah ditahan pada Rabu lalu.

Katanya, suspek telah diberkas ketika bersembunyi di sebuah hotel di Dengkil.

“Hasil semakan lanjut mendapati 33 daripada PATI itu menggunakan pasport yang telah tamat tempoh manakala sembilan lagi tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri.

“Malah soal siasat lanjut juga mendapati, modus operandi sindiket itu adalah kesemua warga asing yang ditahan itu akan menaiki kenderaan untuk diseludup menerusi jalan air iaitu melalui Pantai Bagan Lalang dan Pantai Tanjung Rhu.

“Selain itu, kesemua mereka disembunyikan di rumah transit itu sekurang-kurangnya sejak tiga hari lalu dan dipercayai perlu membuat bayaran di antara RM1,800 hingga RM6,000 setiap seorang untuk pulang ke negara asal mereka,” ujarnya.

Tegasnya, suspek tekong darat tempatan berjaya direman selama empat hari sehingga 17 Disember ini untuk disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.

Manakala kesemua warga asing yang ditahan itu kini direman selama 14 hari di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 untuk membantu siasatan lanjut polis. – MalaysiaGazette