HULU SELANGOR – Fokus utama pasukan mencari dan penyelamat di lokasi kejadian tanah di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm adalah misi mencari dan menyelamatkan 23 lagi mangsa yang dipercayai masih tertimbus di bawah runtuhan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pada masa ini, seramai 363 anggota pasukan penyelamat dari 15 agensi terbabit dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) di lokasi kejadian tersebut.
“Sehingga pukul 11.30 pagi tadi kita masih menumpukan pencarian terhadap 23 lagi mangsa yang disyaki masih tertimbus.
“Berdasarkan rekod individu yang menyertai tiga kawasan tapak perkhemahan di sini iaitu River Hilltop, Farmview, Riverside Campsite adalah seramai 94 orang termasuk pekerja,” katanya kepada pemberita selepas melawat dan meninjau lokasi kejadian di sini hari ini.
Beliau bagaimanapun turut menyatakan ada juga kemungkinan terdapat mangsa lebih dari 94 orang.
Namun Saifuddin berkata, pihaknya sedang berusaha mendapatkan maklumat kerana ada kemungkinan peserta tapak perkhemahan itu terdiri daripada pasangan suami isteri yang berdaftar namun dia tidak mendaftarkan anaknya yang masih kecil.
Jelasnya, SAR juga turut dibantu oleh Unit Anjing Pengesan (K9) yang membawa enam ekor anjing pengesan serta tiga jentolak untuk membantu misi menyelamatkan mangsa.
“Saya juga dimaklumkan bahawa Ketua Polis Negara turut mengarahkan bantuan tambahan membabitkan Pasukan Gerakan Am (PGA) dalam membantu operasi SAR ini untuk mengeluarkan baki mangsa yang masih tertimbus di bawah runtuhan tanah itu,” katanya.- MalaysiaGazette