KUALA LUMPUR – Program pembiayaan Peneraju Skil di bawah Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (Yayasan Peneraju) membantu individu memperoleh pekerjaan dan mencatatkan prestasi memberangsangkan apabila 95 peratus pelatih di bawah pembiayaannya mendapat penempatan pekerjaan setelah tamat program.

Tambah membanggakan, lebih 80 peratus daripada mereka menerima gaji sasaran mengikut pasaran semasa dalam tempoh enam bulan pemantauan pekerjaan.

Pencapaian ini merupakan berita gembira buat Yayasan Peneraju yang beriltizam untuk memperkukuhkan keupayaan vokasional dan teknikal graduan Bumiputera berkemahiran tinggi. Pada masa yang sama, ia turut membuktikan bahawa graduan kelahiran program tersebut mampu bersaing dalam pasaran kerjaya yang semakin mencabar, kata Eksekutif Kanan, Jabatan Pengurusan Program dan Penyampaian Perkhidmatan (Peneraju Skil), Mohamad Azlan Mohd Ismail.

“Sejak ditubuhkan sedekad yang lalu, kami telah membiaya lebih 50,000 penerima faedah melalui lebih daripada 370 program yang dijalankan oleh lebih 180 rakan program,” katanya kepada Malaysia Gazette.

Mohamad Azlan berkata, apa yang membezakan Yayasan Peneraju dengan agensi-agensi pembiayaan yang lain adalah senarai tawaran program yang meliputi kebanyakkan sektor berpendapatan tinggi serta penempatan pekerjaan setelah tamat program.

Jelasnya, Yayasan Peneraju sentiasa memastikan penerima faedah mereka ‘future ready’ dan ‘future proof’ melalui modul ‘Nurture & Development Programme’ merangkumi kemahiran insaniah, sahsiah serta kepimpinan untuk meningkatkan kebolehpasaran mereka.

“Setelah tamat latihan, penerima faedah kami akan ditempatkan di syarikat yang bersesuaian dengan kelayakan mereka melalui pendekatan ‘Train & Place’ atau ‘Place & Train’, bergantung kepada prestasi penerima faedah semasa fasa latihan,” tambahnya.
Bagi tahun 2023, Yayasan Peneraju mensasarkan untuk membantu 4,000 belia di seluruh Malaysia di bawah program Peneraju Skil.

Menurut beliau, terdapat empat kategori kumpulan sasaran Peneraju Skil dari umur 18 sehingga 45 tahun.

Yang pertama adalah lepasan sekolah yang berumur 18 sehingga 25 tahun. Kedua adalah pelajar tahun akhir Diploma/Ijazah Sarjana Muda yang berumur 18 sehingga 25 tahun.
Seterusnya, graduan yang berumur 19 sehingga 35 tahun dengan pengalaman kerja tidak melebihi tiga tahun dan kumpulan sasaran terakhir adalah individu bekerja/tidak bekerja yang berumur 21 sehingga 45 tahun dengan pengalaman kerja tiga tahun ke atas,” ujarnya.

Dalam kata lain, Peneraju Skil membantu Bumiputera daripada pelbagai lapisan umur untuk memperoleh sijil dan membina kerjaya di dalam bidang masing-masing.

Tambah beliau, penawaran program Peneraju Skil meliputi sektor berpermintaan tinggi seperti elektrikal dan elektronik, pembuatan, asas perakaunan, telekomunikasi dan minyak dan gas.

Katanya lagi, skop pembiayaan bergantung kepada program merangkumi yuran latihan, pensijilan, peperiksaan, elaun, makan dan minum, penginapan, dan pengangkutan.
Terma dan syarat dan skop pembiayaan adalah berbeza mengikut program.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan, permohonan boleh dibuat sepanjang tahun 2022 dan 2023.

Dalam masa yang sama, maklumat lanjut boleh dilayari di laman sesawang Yayasan Peneraju https://yayasanpeneraju.com.my/program/peneraju-skil/ atau ikuti laman media sosial Facebook, Twitter, Instagram dan LinkedIn @YayasanPeneraju.
– MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast