HULU SELANGOR – Runtuhan kaki cerun dipercayai menjadi punca utama berlakunya bencana tanah runtuh di tiga tapak perkhemahan di Jalan Batang Kali-Goh Tong dekat sini awal pagi tadi.
Exco Infrastruktur dan Pertanian Negeri Selangor, Ir. Izham Hashim berkata, runtuhan itu membabitkan keluasan keseluruhan 225,000 meter padu (m³) membabitkan anggaran tanah runtuh sebanyak 500,000 tan dengan ketinggian 30 meter (m) manakala jarak sejauh 150m dan lebar 100m.
“Siasatan awal kami di lokasi kejadian juga mendapati tiada sebarang tanda awal runtuhan dikenal pasti selain keadaan cerun adalah landai dan memenuhi kriteria cerun selamat.
“Justeru, cerapan taburan hujan di sekitar lokasi kejadian turut merekodkan tiada insiden hujan luar biasa sejak kelmarin selain tiada sejarah kejadian runtuhan tanah berlaku di kawasan sekitar tempat kejadian,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian hari ini.
Izham terdahulu memantau kerja mencari menyelamat mangsa runtuhan yang dilaksanakan gabungan pelbagai agensi keselamatan.
Tambah beliau, rentetan bencana itu, semua lokasi aktiviti riadah yang beoperasi di sekitar Batang Kali akan ditutup kepada umum sehingga suatu tempoh dimaklumkan kelak.
“Siasatan awal kami di lokasi mendapati tapak perkhemahan mempunyai Kebenaran Merancang akan tetapi kebimbangan kami ketika ini adalah tahap kerosakan cerun dengan kerja menstabilkan struktur akan dibuat segera sejurus operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa selesai sepenuhnya nanti.
“Malah, siasatan lanjut juga mendapati tiada sebarang pergerakan air bawah tanah di bahagian muka dan badan cerun dengan aktiviti berkenaan hanya dikenal pasti di kaki cerun sahaja.
“Kita tengok memang sepanjang jalan tiada tanda runtuhan cerun akan berlaku cuma bimbang ada kerja yang mungkin dibuat di kaki cerun dan siasatan forensik akan dibuat bagi mengesahkannya,” katanya. – MalaysiaGazette