Wednesday, November 6, 2024
Home Utama 9 mangsa gagal ditemui, operasi SAR terganggu hujan lebat

9 mangsa gagal ditemui, operasi SAR terganggu hujan lebat

Keadaan di sekitar lokasi kejadian tanah runtuh di Father's Organic Farm Batang Kali, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 18 DISEMBER 2022.

BATANG KALI – Sembilan lagi mangsa yang hilang dalam tragedi tanah runtuh di Jalan Batang Kali – Gohtong Jaya gagal ditemui sehingga lewat petang ini.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Suffian Abdullah bagaimanapun berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) tetap diteruskan dalam keadaan hujan renyai.

Beliau turut mengesahkan operasi SAR itu terhenti selama sejam sejak bermula 4.30 petang akibat hujan lebat.

“Sehingga petang ini, pasukan penyelamat gagal menemui baki mangsa dan operasi masih diteruskan dalam keadaan hujan renyai.

“Jadi tiada perkembangan terbaharu untuk operasi hari ini,” katanya pada sidang media kedua untuk hari ketiga di sini hari ini.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Datuk Norazam Khamis.

Mengulas lanjut, Suffian berkata, polis kini turut membuat semakan pemilik tujuh kenderaan yang terbabit dalam runtuhan bagi mengenal pasti pemiliknya.

“Semakan sedang dijalankan dan cara itu juga, mungkin kita akan dapat kenal pasti jika ada di antara pemilik kenderaan itu adalah mangsa yang belum ditemui,” katanya.

Pada masa sama, Suffian turut menzahirkan penghargaan kepada semua agensi yang membantu dalam melaksanakan pencarian yang masuk hari ketiga itu.
“Saya ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada rakan-rakan jabatan terlibat dalam menguruskan bencana kita hari ini.
“Saya selaku Komander Operasi Pusat Kawalan di tempat kejadian, sebenarnya banyak dibantu pasukan sahabat kita seperti mana dinyatakan dan digariskan dalam MKN 20,” katanya lagi.

Sementara itu, Norazam berkata, operasi sembilan lagi mangsa yang hilang dalam tragedi tanah runtuh di Jalan Batang Kali – Gohtong Jaya dihentikan ekoran hujan lebat.

Jelas beliau, ia menyebabkan tanah menjadi lembut dan berlakunya pengaliran air yang membabitkan risiko keselamatan ke atas anggota yang bertugas.

“Hujan lebat berlaku pada pukul 4.30 petang dan operasi dihentikan selama sejam.

“Operasi disambung semula selepas itu dalam keadaan hujan renyai dan mungkin berlarutan awal pagi esok bergantung kepada keadaan cuaca,” katanya.

Dalam kejadian 2.42 pagi Jumaat lalu, runtuhan tanah berlaku sepanjang hampir 300 meter dan setinggi 70 meter di tapak perkhemahan itu yang terletak di Gohtong Jaya.

Seramai 94 mangsa terbabit dalam insiden itu dan daripada jumlah itu, 61 dilaporkan selamat manakala 24 lagi disahkan terkorban dan sembilan masih hilang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast