Gambar ihsan Trafik Kuantan

KUANTAN – Padah berlumba haram malam minggu.

Pelajar berusia 18 dan 19 tahun merupakan antara sembilan individu yang ditahan kerana berlumba dalam Op Samseng Jalanan yang dijalankan di Jalan Tun Ismail dan Jalan Kuantan Bypass, di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, operasi dijalankan bermula pukul 11 malam sehingga jam 5 pagi tadi.

“Seorang remaja lelaki berusia 18 tahun turut ditahan kerana menunggang motosikal secara melulu dengan melakukan aksi ala ‘superman’ dan ‘zig-zag’ yang membahayakan diri dan pengguna jalan raya yang lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Gambar ihsan Trafik Kuantan

Beliau berkata, kesemua kenderaan turut disita dalam operasi yang disertai enam anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPTD) serta tiga anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang itu.

Antara kenderaan yang disita membabitkan enam buah kereta jenis Honda Civic, sebuah Honda Ferio, dua buah Proton Wira dan sebuah motosikal jenis WM Motor 110.

“Pemandu dan penunggang berjaya ditahan dan dibawa ke Balai Polis Trafik Kuantan,” tambahnya.

Ketua Polis Daerah Kuantan, ACP Wan Mohd Zahari Wan Busu.

Wan Mohd Zahari berkata, kesemua sembilan pemandu yang ditahan disiasat di bawah Seksyen 81 93) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Manakala remaja penganggur penunggang motosikal terbabit disiasat di bawah Seksyen 42 (1) APJ 1987.

Dalam operasi sama, beliau memaklumkan sebanyak 38 notis saman telah dikeluarkan antaranya meliputi kesalahan lesen tamat tempoh, ubah suai plat kenderaan dan ubah suai kenderaan. – MalaysiaGazette