Temubual eksklusif bersama Pengerusi Penaja Gerakan Tanah Air (GTA), Tun Dr. Mahathir Mohamad di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 15 DISEMBER 2022.

PUTRAJAYA – Bekas perdana menteri sebanyak dua kali, Tun Dr. Mahathir Mohamad tidak mahu memberi sebarang komen mengenai pentadbiran Perdana Menteri kesepuluh, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Negarawan itu berkata, masih terlalu awal untuk membuat ulasan mengenai kerajaan pimpinan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) dan juga Presiden PKR tersebut.

“Saya tidak dapat buat penilaian terhadap Anwar kerana baharu sangat dia jadi perdana menteri,” kata Mahathir ringkas dalam wawancara khas bersama MalaysiaGazette untuk program Owh!MG baru-baru ini.

Bagaimanapun menurut Mahathir, tindakan Anwar melantik Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sebagai timbalan perdana menteri menimbulkan persoalan.

Perdana menteri keempat dan ketujuh negara itu berkata, pemilihan Ahmad Zahid ke jawatan tersebut seolah-olah Anwar tidak menitikberatkan kualiti anggota Kabinetnya.

“Tetapi satu perkara yang saya lihat menimbulkan persoalan.
Umpamanya seorang yang yang dihadapkan ke mahkamah dengan pelbagai jenis jenayah dilantik sebagai timbalan perdana menteri seolah-olah kita tidak mengambil kira kualiti orang yang dipilih.

“Itu sahaja saya nampak. Yang lain saya tidak akan tegur kerana tidak tahu kesan lagi.

“Satu perkara yang saya nampak tidak sihat ialah pelantikan seorang yang berhadapan dengan kes-kes di mahkamah dilantik sebagai TPM. Satu jawatan yang tinggi,” kata Mahathir.

Ketika ditanya mengenai pelantikan calon yang kalah pada pilihan raya umum lalu sebagai anggota Kabinet, Mahathir berkata tindakan itu tidak melanggar Perlembagaan.

Bagaimanapun menurut Mahathir, dari segi moral keputusan tersebut dianggap sebagai tidak bijak.

“Tetapi apabila kita lihat penilaian terhadap satu-satu keputusan dibuat yang bertentangan dengan keadaan sekeliling dan nilai biasa.

“Kita khuathir sama ada di masa hadapan akan berlaku lagi perbuatan yang walaupun dari segi undang-undang tidak ada masalah tetapi dari segi nilai hidup, budaya ia tidak menepati moral,” katanya.

Sementara itu Mahathir berkata, jangka hayat Kerajaan Perpaduan Malaysia yang dipimpin Anwar terletak kepada cara kerajaan memerintah.

Beliau berkata, jika parti-parti yang bermusuh sebelum ini boleh menyesuaikan pendapat antara satu sama lain ia sesuatu yang baik.

Bagaimanapun Mahathir berkata, rakyat memilih parti dan pemimpin untuk menjadi kerajaan berdasarkan janji yang dibuat oleh mereka.

“Bila kita berbuat sesuatu yang menidakkan janji kita, kepercayaan rakyat kepada orang yang melakukan perbuatan itu akan berkurangan.

“Pada masa hadapan rakyat mungkin akan berpendapat apa gunanya pilihan raya kalau yang kami pilih diketepikan, yang kami tolak diutamakan.

“Itu menimbul perasaan tidak senang atau kekecewaan di kalangan rakyat kerana pendapat mereka tidak dihormati,” kata Mahathir. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Kalau tak lantik TPM, tak dapatlah tubuh kerajaan sebab hanyai punyai kerusi minoriti. Politik dijadikan medan mengugut, rasuah, tuntutan dan menjaga kepentingan masing2?

Comments are closed.