Penduduk di Felda Bukit Goh, Kuantan menunjukkan kawasan terjejas akibat banjir kilat baru-baru ini

KUANTAN – Penduduk Felda Bukit Goh, di sini, mendesak agar pihak berwajib segera mencari penyelesaian terhadap masalah banjir kilat yang kerap melanda kawasan itu.

Salah seorang penduduk, Rosli Arshad, 50, mendakwa, kejadian tersebut berpunca akibat kesilapan pembinaan sistem perparitan sebelum ini.

“Saya berani mengatakan hari ini, bahawa berlaku satu kesilapan semasa pembinaan perparitan di Felda Bukit Goh. Saya dulu bekerja sebagai kontrak di bawah Felda dan belajar spesifikasi perparitan. Mudah kalau saya bagi contoh.

“Satu parit contoh keluasan dua kaki dan ada tiga saliran bertembung. Dan air dari tiga saluran ini akan mengalir ke satu longkang yang juga keluasan dua kaki. Jadi ia melimpah lah. Itu cakap orang tak sekolah macam saya pun tahu,” katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.

Rosli Arshad

Rosli menambah, masalah yang dihadapi itu telah berlarutan sepanjang 20 tahun yang mana beliau telah membuat banyak aduan kepada pihak berkaitan, terutama Felda Wilayah Kuantan dan Ibu Pejabat Felda di Kuala Lumpur.

Namun, katanya masalah itu masih belum dapat diselesaikan dan berulang setiap kali hujan sepanjang hari, walaupun bukan ketika musim Monsun Timur Laut (MTL).

“Kalau tahun lepas, sehingga 18 rumah yang terjejas. Kalau tahun ni, setakat ni kita dah tahu lapan keluarga yang terjejas.

“Yang terbaharu berlaku banjir kilat malam semalam pukul 7 malam. Air kalau naik di halaman rumah saya boleh cecah dua hingga tiga kaki,” katanya.

Rosli Arshad menunjukkan masalah perparitan punca banjir kilat di kawasan rumahnya di Felda Bukit Goh, Kuantan hari ini

Rosli memberitahu, beliau pernah menerima kunjungan Ketua Unit komuniti Felda di Ibu Pejabat Felda yang melawat kawasan rumahnya dan dijanjikan penambahbaikan kawasan yang sering terlibat banjir kilat.

“Tapi sehingga ke hari ini, sepanjang 20 tahun, maknanya saban tahun datang melawat, tabur janji, balik. Tahun depan datang lagi, tabur janji, balik,” katanya.

Hampa dan terdesak untuk menyelesaikan isu yang membebankan itu, Rosli tidak putus asa dan turut memanjangkan aduan kepada Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Indera Mohd Shahar Abdullah.

“Datuk Shahar ketika itu Timbalan Menteri Kewangan I. Beliau ada mengarahkan pihak Felda untuk panggil Felda Investment Corporation (FIC) turun buat lawatan.

“FIC datang ukur kawasan apa semua. Kemudian senyap. Tabur janji lagi. Saya kata, adakah ini permainan persepsi, menabur janji untuk politik? Setiap kali PRU, tabur janji,” katanya.

Malah, Rosli juga mendedahkan sejak aduan pertamanya kira-kira 20 tahun lalu sehingga kini, sudah lima orang Pengurus Felda Bukit Goh bertukar ganti, namun masalah sama masih belum selesai.

Apa yang diharapkannya agar pihak-pihak berkaitan tidak menutup sebelah mata dan cakna dengan masalah dihadapi penduduk di kawasan itu dan tampil dengan langkah penyelesaian secara tuntas.

“Kita tak mencari salah mana-mana pihak. Kita nak menyelesaikan masalah,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi penduduk, Wan Ismail Wan Ali, 65, berkata, beliau terpaksa menanggung kerugian setiap kali berlaku banjir kilat.

Wan Ismail Wan Ali

Dia yang membuka bengkel membaiki barangan elektrik dan motosikal terpaksa redha apabila barangan pelanggan yang siap dibaiki rosak akibat banjir.

“Semalam pun, dua buah mesin basuh, motosikal dan beca habis rosak sebab tak sempat selamatkan. Kerugian lebih RM1,000 juga.

“Sekarang ni makin teruk. Hujan lebat dalam masa satu jam memang air naik habis. Tahun ni sahaja sudah tiga kali air naik teruk,” katanya.

Sama seperti Rosli, beliau turut membuat aduan berkenaan masalah saliran di kawasan bengkelnya itu dengan memohon penambahbaikan kalbot, namun tiada tindakan diambil pihak berkaitan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast