KUANTAN – Datuk Dollah Salleh puas hati bintang Argentina, Lionel Messi menang aksi final Piala Dunia 2022 menentang France.
“Saya sebenarnya tak kisah sangat dua-dua ‘team’ ni. Tapi, saya nak Messi menang sahaja,” kata Ketua jurulatih Kelab Bolasepak Sri Pahang (Sri Pahang FC) dengan ceria.
Dollah berkata demikian kepada media selepas sesi tontonan perlawanan akhir Piala Dunia 2022 bersama anjuran Adena Beach Resort, Kuantan, awal pagi tadi.
Beliau gembira apabila Messi, 35, yang menjadi penjaring terbanyak Argentina mengakhiri karier bola sepaknya dengan pencapaian yang membanggakan.
“Ibarat macam Diego Maradonna dulu. Ini merupakan kejayaan dia sebagai salah seorang pemain terbaik dunia dan mengakhiri kariernya dengan menang Piala Dunia.
“Saya risau sebenarnya kalau dia tak menang, saya bersimpati kalau dia tak dapat julang piala itu. Jadi memang saya nak dia menang,”ulas Dollah.
Selain teruja dengan pencapaian cemerlang Messi, Dollah turut berpendapat pasukan Argentina memaparkan corak permainan yang lebih baik berbanding pasukan lawan.
Perlawanan final Piala Dunia 2022 Argentina menentang Perancis berlanjutan apabila kedua pasukan seri 3-3 selepas waktu permainan sebenar dan masa tambahan berakhir, memaksa pusingan sepakan penalti yang menyaksikan Argentina menewaskan Perancis 4-2.
Dua gol Argentina dijaringkan Messi pada minit 23 dan 108 manakala satu lagi gol dijaringkan Angel Di Maria pada minit ke 36.
Namun, bintang kelab Paris St German (PSG) , Kylian Mbappe, 27 mencipta sensasi apabila menjaringkan hatrik dalam perlawanan itu dan berjaya membawa pulang Anugerah Kasut Emas Piala Dunia 2022.
Messi sebelum ini mengesahkan rancangan persaraannya itu ketika ditemubual media Argentina, Diario Deportivo Ole pada Rabu lalu.
Messi juga berkata, aksi final menentang Perancis adalah perlawanan terakhirnya bagi pasukan gergasi Argentina.
Kemenangan itu menamatkan penantian Argentina memburu gelaran Piala Dunia pertama mereka sejak kejuaraan skuad 1986 dibarisi Diego Maradona. – MalaysiaGazette