KUANTAN – Hujan lebat tidak menghalang warga Kuantan menyaksikan final Piala Dunia 2022 di Adena Beach Resort, di sini awal pagi.
Pengurusnya, Vijay Sivaraj berkata, terdapat kira-kira 130 orang peminat tegar bola sepak pelbagai peringkat umur hadir menonton perlawanan antara Argentina dan Perancis yang disiarkan secara langsung itu.
“Kami sebenarnya tidak menjangkakan hujan begitu lebat pada malam ini. Memang air naik di kawasan lokasi asal khemah sesi tontonan.
“Mungkin kami harus buat lebih baik dari segi persediaan pada masa akan datang,” katanya selepas sesi tontonan perlawanan akhir Piala Dunia 2022 di sini, hari ini.
Jelas beliau, pihaknya telah menganjurkan sesi tontonan bagi semua perlawanan sejak hari pertama Piala Dunia 2022
“Sambutan sangat memuaskan daripada warga Kuantan dan penghuni hotel kami, di mana setiap sesi tontonan, kira-kira 80 hingga 100 peminat bola sepak yang hadir untuk menonton.
“Kalau ‘team’ popular seperti Portugal dapat tarik lebih ramai penonton, tidak terkecuali bila sesi diadakan bagi perlawanan membabitkan pasukan Asia,” ujarnya.
Tambah Vijay, pihaknya juga merancang untuk mengadakan sesi tontonan bagi Liga AFF dan Piala Asia memandangkan sambutan yang memberangsangkan diterima sebelum ini.
Sementara itu, Ketua jurulatih Sri Pahang FC, Datuk Dollah Salleh ketika ditemui teruja dengan semangat yang dipamerkan penonton yang hadir.
Katanya, ini merupakan kali pertama beliau menyertai sesi tontonan siaran langsung perlawanan bola sepak di sini dan kagum dengan suasana dan sambutan daripada penonton. – MalaysiaGazette