KUALA LUMPUR – Prestasi dagangan Malaysia meneruskan momentum pertumbuhan pada November 2022, dengan dagangan meningkat 15.6 peratus daripada RM206.1 bilion pada tahun sebelumnya kepada RM238.2 bilion.
Jumlah dagangan mencatatkan pertumbuhan bulan ke-24 berturut-turut sejak Disember 2020, menurut Jabatan Perangkaan.
Eksport mencatatkan pertumbuhan kukuh 15.6 peratus berbanding November 2021, merupakan peningkatan tahun ke tahun yang ke-27 bulan berturut- turut sejak September 2020.
Pertumbuhan ini didorong oleh kedua-dua eksport domestik dan eksport semula.
Eksport domestik bernilai RM104.1 bilion menyumbang 79.9 peratus kepada jumlah eksport, meningkat 10.5 peratus, tahun ke tahun. Sementara itu, eksport semula mencatatkan RM26.2 bilion, meningkat 41.8 peratus.
Import pada November 2022 juga mencatatkan pertumbuhan dua angka 15.6 peratus daripada RM93.4 bilion pada November 2021 kepada RM107.9 bilion.
Manakala import mengikut penggunaan akhir mengekalkan pertumbuhan positif dengan peningkatan barangan perantaraan (+8.2%), barangan penggunaan (+23.6%) dan barangan modal (+3.2%).
Lebihan dagangan meningkat 15.6 peratus kepada RM22.3 bilion berbanding bulan yang sama tahun lepas, lebihan dagangan bulan ke-31 berturut-turut sejak Mei 2020.
Eksport yang lebih tinggi direkodkan ke Singapura (+RM5.9 bilion), Jepun (+RM2.1 bilion), Hong Kong (+RM1.8 bilion), China (+RM1.6 bilion), Australia (+RM1.6 bilion), Amerika Syarikat (+RM1.5 bilion), Kesatuan Eropah (+RM1.5 bilion) dan Thailand (+RM1.1 bilion).
Peningkatan eksport turut didorong oleh barangan elektrik & elektronik (+RM12.9 bilion); gas asli cecair (+RM2.7 bilion); keluaran petroleum (+RM2.6 bilion) dan petroleum mentah (+RM1.3 bilion).
Prestasi signifikan import disokong terutamanya dari China (+RM3.6 bilion), Australia (+RM2.4 bilion), Taiwan (+RM2.1 bilion), Amerika Syarikat (+RM1.5 bilion), Singapura (+RM1.5 bilion) dan Arab Saudi (+RM1.5 bilion).
Peningkatan import dicatatkan bagi barangan elektrik & elektronik (+RM5.3 bilion); petroleum mentah (+RM3.0 bilion); jentera, kelengkapan & peralatan (+RM1.5 bilion); kelengkapan pengangkutan (+RM1.1 bilion) dan gas asli cecair (+RM1.0 billion).
Bagi tempoh Januari hingga November 2022, jumlah dagangan, eksport, import dan lebihan dagangan terus mencatat pertumbuhan dua angka yang kukuh.
Jumlah dagangan meningkat 29.9 peratus, disokong oleh pertumbuhan eksport (+27.2%) serta import (+33.3%). Lebihan dagangan mencatatkan nilai lebih tinggi RM227.9 bilion (+2.6%). – MalaysiaGazette