Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Selangor, Hafisham Mohd Noor bercakap pada sidang media mengenai keadaan tanah runtuh berhampiran tapak perkhemahan di Father's Organic Farm, Batang Kali, Selangor. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 19 DISEMBER 2022.

HULU SELANGOR – Pasukan keselamatan hari ini menumpukan lokasi di sektor A dan C untuk mengesan sembilan lagi mangsa perkhemahan di Jalan Batang Kali-Gohtong Genting yang masih hilang.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Hafisham Mohd Noor dalam sidang media pagi tadi berkata, kedua-dua tempat itu masih belum dilaksanakan pencarian dan kemungkinan besar akan menjumpai baki mangsa yang masih hilang itu.

Katanya, operasi SAR yang dimulakan dari jam 9 pagi hingga 9 malam semalam tidak menemui sebarang petunjuk baharu dan terpaksa dihentikan malam tadi berikutan hujan lebat dan berisiko kepada pasukan keselamatan untuk meneruskan operasi di lokasi runtuhan.

“Pada hari ini operasi SAR disambung semula jam 8 pagi tadi dengan usaha pencarian pada hari ini membabitkan 135 pegawai dan anggota yang mana lokasi pencarian kali ini tertumpu sepenuhnya di Sektor A dan C.

“Harap usaha pada hari ini membuahkan hasil kepada pencarian kita. Semalam tiada hasil kita rasa terkilan dan kecewa. Walaupun kita sudah berusaha masih belum menemui mangsa yang masih hilang,” katanya.

Hafisham juga menambah, operasi SAR hari ini turut membabitkan enam unit anjing pengesan (K9) milik JBPM, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta lapan jentera berat (long harm excavator) yang akan mengorek tanah runtuh dari cerun berketinggian 16 meter.

Pegawai keselamatan turut ditempatkan di lokasi berkenaan, bertanggungjawab memerhati dan memantau pergerakan tanah.

“Sekiranya berlaku gelinciran tanah dan batu, mereka akan membunyikan wisel sebagai amaran.

“Bagaimanapun, berdasarkan maklumat pihak berkaitan iaitu Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (Jupem) mengesahkan bahawa risiko berlaku gelinciran tanah di lokasi ini adalah rendah.

“Tetapi kita akan tetap sentiasa peka dan menjalankan operasi dengan penuh berhati-hati dan fokus sepenuhnya di lokasi,” ujar beliau.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast