Kumpulan Caliph Buskers semasa sesi fotografi pada Anugerah Juara Lagu 33 (AJL 33) di Axiata Arena, Bukit Jalil. foto SYAFIQ AMBAK, 03 FEBRUARI 2019

KUALA LUMPUR – Salah seorang ahli kumpulan Caliph Busker iaitu Fendy Adlun merayu kepada pihak penganjur sebuah acara di Pulau Pinang agar membayar wang persembahan mereka pada 9 dan 10 Disember lalu.

Fendy memberitahu, mereka pada awalnya tidak berkira apabila tidak mengambil wang deposit sebelum mengadakan persembahan namun pihak tersebut seolah-olah mengelak dengan memberikan pelbagai alasan.

Tegasnya, ahli kumpulan itu amat memerlukan wang berkenaan disebabkan hanya bergantung dengan pendapatan persembahan pentas dan busking.

“Kami sudah bertolak-ansur tidak memaksa memberi deposit yang sepatutnya kami ambil, sekarang kami juga mohon agar pihak berkenaan dapat membayar paling tidak separuh dahulu kepada kami.

“Sampai hati kau kenakan orang buta. Kalau aku boleh kerja macam kau, tak apa. Tapi inilah kerja yang kami ada… kalau tak buat persembahan pentas, busking.

“Busking pun kau faham-fahamlah musim hujan sekarang. Kadang-kadang busking pun tak dapat apa-apa. Jadi, bila ada show barulah sedap sikit,” katanya menerusi sebuah video yang dimuat naik di Instagram miliknya.

Pihak penganjur persembahan berkenaan dikatakan menjanjikan bayaran sebanyak RM10,000 kepada kumpulan berkenaan.

Dalam pada itu, Fendy memberitahu demi menjayakan acara tersebut, mereka menolak beberapa undangan lain kerana percayakan penganjur berkenaan demi menjayakan acara tersebut.

Malah dedahnya, ada di antara mereka yang pergi ke Pulau Pinang tanpa memiliki wang dalam poket kerana mengharapkan bayaran dijanjikan selepas selesai persembahan.

“Kalaulah kalian tahu, kami sudah pun menolak beberapa undangan lain kerana mahu memenuhi undangan kalian.

“Ada juga antara kami yang datang ke tempat kalian tanpa membawa satu sen pun kerana mengenangkan janji kalian untuk membayar kami setelah selesai kami membuat persembahan,” jelasnya.

Untuk rekod, Selain Fendy, Caliph Buskers dianggotai Azmi Saat sebagai vokalis, Zaki Ismail (pemain gitar bass) dan Nirwan Zainalabidin (pemain gitar). – MalaysiaGazette