Eskavator milik Rejimen Askar Jurutera Diraja Malaysia akan digunakan bagi mencari mangsa yang masih hilang di lokasi kejadian tanah runtuh di Father's Organic Farm Batang Kali, Selangor. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 19 DISEMBER 2022.

HULU SELANGOR – Pasukan keselamatan yang terlibat mengesan mangsa tanah runtuh di Father’s Organic Farm, di sini, menambah bilangan jengkaut dalam dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR).

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Hafisham Mohd Noor berkata, penambahan jentera itu dalam operasi SAR hari ini bertujuan untuk mengasingkan tanah yang dikorek ke kawasan lain.

“Selepas seharian usaha pencarian telah dibuat pada hari ini memenuhi keseluruhan tanah yang terlibat namun masih menunjukkan negatif setakat jam 6.30 petang tadi walaupun sudah digali tanah runtuh sehingga ke lantai asal dan masih belum menemui tanda berkaitan mangsa.

“Jadi kita membuat penambahan jentera berat untuk mengasingkan tanah itu ke kawasan lain supaya tidak dikumpul menjadi timbunan dalam satu tempat yang sama,”katanya dalam sidang media, di sini, hari ini.

Sidang media itu dipengerusikan oleh Ketua Polis Daerah Hulu Selangor yang menjadi ‘Commander on Ground’ untuk operasi SAR mangsa yang tertimbus dalam runtuhan tanah yang berlaku jam 2.30 pagi Jumaat lalu.

Menurut Hafisham, pihaknya mendapati tanah masih lembik dan becak menyebabkan pasukannya terpaksa menebang batang pokok untuk  dijadikan sebagai lantai bagi memudahkan jengkaut bergerak.

“Kalau tidak, jengkaut akan terbenam dalam runtuhan tanah yang lembut dan becak itu. Itu salah satu isu yang menyukarkan kita untuk bertugas sebab tanah lumpur,” ujar beliau.

Sementara itu, Hafisham berkata, laporan Jabatan Mineral dan Geosains serta Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (Jupem) mengesahkan peratusan risiko tanah di kawasan itu runtuh adalah sangat rendah.

Katanya, berikutan itu pihaknya telah menggerakkan lebih ramai anggota secara bergilir untuk bertugas ground zero. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast