Keadaan di sekitar lokasi kejadian tanah runtuh di Father's Organic Farm Batang Kali, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 18 DISEMBER 2022.

HULU SELANGOR – Semua pihak termasuk anggota keselamatan yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat mangsa tragedi tanah runtuh Father’s Organic Farm diminta tidak menular sebarang gambar berkaitan mangsa kejadian di media sosial.

Polis akan bertindak tegas tanpa kompromi jika ada mana-mana pihak dikesan melakukan perbuatan tidak bertanggungjawab itu, tegas Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Suffian Abdullah.

Kata beliau, perbuatan menular gambar sewenang-wenangnya adalah satu perbuatan jenayah bertujuan mengaibkan mangsa dan ahli keluarga yang terjejas dalam kejadian tragis dan menyedihkan itu.

“Bukan sahaja ahli masyarakat, malah mana-mana individu serta semua yang terlibat dalam operasi SAR diseru agar menjaga perkara yang kita rekod termasuk merakam gambar di lapangan.

“Saya suka mengingatkan di sini bahawa kita mempunyai tanggungjawab menjaga menjaga sensitiviti mangsa dan keaiban mangsa dan keluarga perlu dijaga.

“Kita tak nak gambar-gambar mangsa serta mayat ditularkan selepas ini kerana ia perbuatan mengaibkan mangsa dan mendukacitakan keluarga mangsa yang sedih dan terkesan dengan tragedi itu,” katanya dalam sidang media hari ini.

Mana-mana pihak yang dikesan terlibat dengan perbuatan seumpama itu adalah melanggar undang-undang dan boleh diambil tindakan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar perkhidmatan dan rangkaian perkhidmatan serta di bawah Kanun Keseksaan.

“Saya berharap semua pihak boleh memberi kerjasama dengan polis dan tidak melakukan perbuatan tidak beretika itu sebagai menjaga dan menghormati sensitiviti mangsa dan keluarga mereka,” tegas beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast