Gelagat pengunjung yang hadir membeli barang keperluan ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Pasar Raya St Rosyam Mart , Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 29 NOVEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 11 jenis barangan akan diwartakan bagi pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Krismas berkuatkuasa dari 23 Disember hingga 27 Disember 2022.

Barang-barang itu ialah ayam tua hidup (Dikawal di Sarawak), kepak ayam (Dikawal di Sarawak, Sabah dan Labuan), daging kambing biri-biri import bertulang, tomato dan lada benggala hijau.

Selain itu, kubis bulat import (China dan Indonesia), lobak merah, ubi kentang import (China), babi hidup (dikawal peringkat ladang), daging babi (Perut) dan daging babi (daging dan lemak).

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, tempoh pelaksanaan SHMMP Krismas 2022 kali ini bersesuaian mengikut keadaan semasa, iaitu mewujudkan suasana menang-menang kepada pengguna dan peniaga.

”Pengguna dapat menikmati harga yang berpatutan dan peniaga pula tidak tertekan dengan tempoh masa pelaksanaan yang terlalu lama.

”Penentuan harga ini dibuat dengan mengambil kira pandangan dari pemain industri, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) serta agensi di bawahnya dan data-data harga barangan yang dikutip oleh Bahagian Harga Barang Negara (BHBN), KPDN,” katanya dalam kenyataan di sini.

Salahuddin berharap semua pihak dapat mematuhi harga-harga yang telah ditetapkan ini dan mengunakan label merah jambu bagi barangan tersebut.

Jelasnya, tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang gagal mematuhi peraturan-peraturan di bawah skim ini.

Mana-mana peniaga yan g melakukan kesalahan akan diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan boleh dikenakan penalti.

Kesalahan menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum, individu; boleh didenda oleh mahkamah sehingga RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun
atau kedua-duanya atau dikompaun sehingga RM50,000.

Manakala syarikat; boleh didenda sehingga RM500,000 atau dikompaun sehingga RM250,000 bagi kesalahan gagal meletakkan tanda harga berwarna merah jambu bagi barangan harga terkawal; individu; boleh didenda oleh mahkamah sehingga RM10,000 atau dikompaun sehingga RM5,000; dan syarikat; boleh didenda sehingga RM20,000 atau dikompaun sehingga RM10,000.

SHMMP Krismas 2022 akan dikuatkuasakan melalui Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 dan membolehkan penentuan
harga dibuat di semua peringkat.

Harga maksimum yang telah ditetapkan untuk SHMMP Krismas 2022 di peringkat pengeluar, pemborong dan peruncit dan semakan harga boleh dibuat melalui website Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup di https://www.kpdnhep.gov.my. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast