KUANTAN – Rakyat yang terkesan akibat banjir dinasihati mendengar arahan pihak berkuasa jika diminta berpindah.
Demikian nasihat Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini.
“Saya ingin memberi nasihat kepada rakyat khusus yang dilanda banjir, di Pahang Terengganu dan Kelantan harus berwaspada dengan keadaan cuaca ketika ini,” titah baginda.
Terdahulu, baginda mencemar duli meninjau keadaan mangsa-mangsa banjir yang ditempatkan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Beserah, di sini.
Turur mencemar duli, Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang turut berkenan mengagihkan bantuan berbentuk barangan makanan dan wang tunai kepada mangsa banjir di PPS berkenaan.
“Saya harap juga tempat-tempat PPS ini sentiasa berada dalam keadaan bersih. Guna bilik-bilik tandas dengan sebaik mungkin dan jagalah kebersihan semasa berada di PPS.
“Banyak-banyak bersabar,” pesan baginda lagi.
PPS Sekolah Kebangsaan Beserah kini menempatkan 226 mangsa dari 50 keluarga yang terkesan banjir sejak dibuka Ahad lalu.
Dalam pada itu, baginda juga menasihati ibu bapa dan penjaga sentiasa peka dengan keberadaan anak-anak atau cucu masing-masing dalam keadaan banjir ini supaya tiada kejadian tidak diingini berlaku.
Untuk rekod, banjir yang melanda negeri-negeri di Pantai Timur telah mengakibatkan empat kematian yang melibatkan tiga wanita dan seorang kanak-kanak lelaki, dalam dua kejadian berasingan di Kelantan.
Kejadian pertama meragut nyawa tiga beradik perempuan dilaporkan berlaku di Kampung Bendang Surau, Morak, Tumpat, kira-kira jam 11.30 pagi semalam.
Manakala, seorang kanak-kanak lelaki berusia satu tahun tiga bulan, ditemukan lemas di Kampung Gual Tok Deh, Rantau Panjang, kira-kira 1 tengah hari semalam. – MalaysiaGazette