Penguatkuasa Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JKWPKL) menggunkan pemakaian kamera badan semasa membuat Ops Rakam Asap Tembakau ketika tinjuan lensa Malaysia Gazette di Sunway Putra Mall, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 20 DISEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Anggota penguatkuasa Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan (JKWP) Kuala Lumpur dan Putrajaya kini  menggunakan vest dan kamera badan dalam operasi yang dijalankan jabatan itu.

Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Nor’aishah Abu Bakar berkata, ia merupakan kali pertama teknologi kamera badan dengan resolusi serta sensitiviti tinggi digunakan di lapangan.

Tambah beliau, pemakaian teknologi itu hanya untuk Operasi Penguatkuasaan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 dan Undang-Undang Kesihatan Awam yang lain khusus kepada anggota yang bertugas.

“Rakaman video dan gambar yang direkodkan akan digunakan sebagai bahan bukti kesalahan dan sokongan keterangan pelaksanaan keseluruhan aktiviti. Di samping itu, ia juga dapat menjaga keselamatan dan memelihara integriti anggota penguatkuasa.

“Sejak 12 Disember lalu sehingga kini, sebanyak 10 Ops PPKHT 2004 telah dijalankan Pegawai Penguatkuasa Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya menggunakan Body Camera.” katanya dalam kenyataan.

Vest dan kamera badan itu dibekalkan Kementerian Kesihatan (KKM) pada 12 Disember lalu.

Dr Nor’aishah berharap penggunaan teknologi itu dapat memberi kesan positif dalam membantu meningkatkan kualiti perkhidmatan dan ketelusan aktiviti penguatkuasaan berkaitan perundangan kesihatan awam di negara ini.

Penguatkuasa Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JKWPKL) mengeluarkan kompaun sebanyak RM250 semasa membuat Ops Rakam Asap Tembakau ketika tinjuan lensa Malaysia Gazette di Sunway Putra Mall, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 20 DISEMBER 2022.

Terdahulu, hampir 20 pegawai dan penguatkuasa JKWP Kuala Lumpur dan Putrajaya melaksanakan Ops PPKHT 2004 di sekitar Sunway Putra Mall, di sini.

Dr Nor’aishah berkata, sebanyak 147 notis dikeluarkan oleh pihak penguatkuasa sejak 12 Disember lalu sehingga hari ini menerusi operasi yang dijalankan itu.

“(Sebanyak) 140 notis dikeluarkan kepada individu atas kesalahan merokok di kawasan larangan dan tujuh notis melibatkan larangan mengenai merokok dan sebagainya terhadap Orang Belum Dewasa (ODB).

“Mereka dikenakan notis 32b di bawah peraturan 11(1) dan 13 Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004,” ujarnya.

Tambah beliau, di bawah Peraturan 11, KKM menetapkan sebanyak 23 tempat larangan telah diwartakan termasuk tempat makan berhawa dingin, tempat makan terbuka, hentian awam dan pusat membeli belah.

Manakala Peraturan 13 pula adalah larangan merokok, mengunyah, membeli atau mempunyai dalam milikan apa-apa hasil tembakau oleh Orang Belum Dewasa (OBD) malah mereka boleh dikenakan tindakan kompaun, ujarnya.

Penguatkuasa Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JKWPKL) mengeluarkan kompaun sebanyak RM250 semasa membuat Ops Rakam Asap Tembakau ketika tinjuan lensa Malaysia Gazette di Sunway Putra Mall, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 20 DISEMBER 2022.

Menurut Dr. Nor’aishah, pihaknya akan terus menjalankan penguatkuasaan dan pematuhan larangan merokok di bawah PPKHT 2004 di pusat membeli belah, hentian awam dan tempat makan di Kuala Lumpur serta Putrajaya.

Sehubungan itu, orang ramai diminta mematuhi peraturan yang ditetapkan dan sebarang aduan berkaitan merokok di tempat awam boleh disalurkan melalui aplikasi WhatsApp di talian 010-8608949.

Manakala bagi golongan perokok yang ingin berhenti merokok boleh melayari laman sesawang di www.jomquit.com. – MalaysiaGazette

Video Berkaitan