KUALA LUMPUR – Sejak pemergian anak sulungnya sehingga hari ini, Siti Esah Hassan, 53 tidak berdaya untuk membaca, mendengar atau mengikuti perkembangan terkini tragedi tanah runtuh di Batang Kali.
Kata beliau, sebagai seorang ibu, hatinya luluh setiap kali mengenangkan nasib anaknya, Nurul Azwani Kamarulzaman, 31, yang merupakan salah seorang daripada 24 mangsa korban tragedi berkenaan.
“Sebagai ibu ini, saya paling rasa kesedihan itu. Luluh hati saya. Saya tidak boleh tengok berita (mengenai tanah runtuh itu). Tidak ada kekuatan saya, saya sangat sedih,” katanya yang gagal mengawal kesedihan.
Nurul Azwani merupakan antara yang maut akibat kejadian tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm pada awal pagi Jumaat lalu.
Allahyarhamah yang bekerja sebagai pembantu kantin di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Mun Choong, Jalan Ipoh, di sini, mengikuti rombongan perkhemahan anjuran guru-guru sekolah itu.
Naluri ibu yang tidak pernah salah, Siti Esah mengakui dapat menjangka anaknya tidak dapat diselamatkan, sejak beliau menerima berita tentang kejadian berkenaan.
“Masa saya dihubungi dan diberitahu dia terkandas, saya mula fikir macam-macam. Memang tidak dapat tidur sebab fikiran bercelaru. Saya asyik terbayangkan dia. Masa itu memang saya dapat rasa anak saya tidak ada harapan untuk hidup,” kata wanita itu.
Meskipun reda dengan pemergian anak sulungnya itu, Siti Esah berkata, hatinya kini terasa kosong.
“Saya bersyukur sangat sentiasa ada yang membantu. Banyak rezeki Allahyarhamah. Tapi saya tetap rasa kosong. Bantuan pun tidak putus-putus, mungkin dia tinggalkan rezeki untuk saya,” ujarnya. – MalaysiaGazette