KUALA LUMPUR – Kerajaan akan mencari cara dan kaedah bagi menjimatkan sekurang-kurangnnya RM2 bilion dalam perbelanjaan Rancangan Tebatan Banjir (RTB) yang dibuat oleh Kementerian Sumbar Asli dan Alam Sekitar (KASA) sebelum ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan pimpinannya tidak mempersoalkan kepentingan projek tebatan banjir yang diluluskan oleh KASA.
Bagaimanapun menurut Anwar, yang menggusarkan adalah perbelanjaan yang begitu besar iaitu berjumlah RM15 bilion.
Katanya, duit rakyat yang begitu banyak telah dibelanjakan dengan begitu mudah dan cepat.
Anwar menegaskan penjimatan RM2 bilion itu boleh digunakan untuk membantu rakyat.
“Maka, saya telah meminta Kementerian Kewangan untuk menilai semula proses perolehan yang dipercayai dapat menjimatkan sekurang-kurangnya RM2 bilion yang boleh diagihkan semula untuk kesejahteraan rakyat.
“Kementerian Kewangan bersama Kementerian berkaitan akan memastikan aspek teknikal projek mengambil kira pandangan pakar bagi memastikan perbelanjaan yang besar ini benar-benar memberi manfaat kepada rakyat,” kata Anwar.
Beliau berkata demikan ketika membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Kumpulan Wang Disatukan (Perbelanjaan Masuk Akaun) 2002 di Dewan Rakyat.
Anwar berkata, beliau difahamkan daripada 39 cadangan projek RTB yang dipohon oleh KASA sebanyak 28 daripadanya telah diluluskan secara rundingan terus.
Projek yang diluluskan bernilai hampir RM14 bilion atau lebih 90 peratus daripada keseluruhan peruntukan.
“Persoalannya, mengapa projek RTB yang besar belanjanya ini diputuskan dalam ruang tatakelola yang tergesa-gesa secara rundingan terus walaupun projek ini sebenarnya ialah projek jangka panjang sehingga 2030.
“Saya ingin tegaskan bahawa Kerajaan Perpaduan ini tidak mempersoalkan kepentingan projek Tebatan Banjir. Yang saya gusar ialah, duit rakyat sebegini banyak, dibelanjakan dengan begitu mudah dan cepat sekali,” tegas Anwar.
Sementara itu, Anwar berkata, Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) telah menyalurkan RM400 juta sebagai kesiapsiagaan awal di kawasan-kawasan banjir.
Pelbagai agensi Kerajaan sudah berada di lapangan bagi mengerakkan jentera untuk membantu rakyat.
Anwar berkata, kerajaan memberi jaminan akan menyediakan sumber kewangan tambahan sekiranya perlu bagi memastikan kelancaran pengurusan banjir.-MalaysiaGazette