Anggota Bomba yang mengawal lokasi kejadian tanah runtuh berhampiran tapak perkhemahan di Father's Organic Farm, Batang Kali, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 20 DISEMBER 2022.

BATANG KALI – Polis mengesahkan dua anggota yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) tanah runtuh di Father’s Organic Farm di sini mengalami kecederaan ringan, semalam.

Komander Operasi SAR, Superintendan Suffian Abdullah berkata, kedua-dua yang tercedera itu masing-masing adalah anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).

“Setakat ini ada tiga anggota termasuk seorang pegawai penyelamat mengalami sedikit kemalangan semasa SAR semalam.

“Antaranya Pengarah Bomba Selangor sendiri, Datuk Norazam Khamis.

“Seorang pasukan JPAM difahamkan kaki dia terkehel dan pagi ini sudah discaj dari hospital.

“Manakala seorang lagi anggota bomba yang mengalami masalah kesihatan,” katanya pada sidang media di lokasi tanah runtuh di Father’s Organic Farm di sini, hari ini.

Semalam, Pengarah Bomba Selangor itu dikejarkan ke Hospital Selayang selepas diserang angin ahmar ringan, selain keletihan.

Dalam pada itu, Suffian yang juga Ketua Polis Hulu Selangor menggesa orang ramai mendoakan kesemua anggota dan pegawai yang terlibat dalam operasi SAR kali ini dilindungi daripada perkara yang tidak diingini.

“Saya mengharapkan semua pihak mendoakan ketiga-tiga termasuk pegawai dan anggota penyelamat yang bertugas pada kali ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast