Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Suprintendan Suffian Abdullah bercakap pada sidang media mengenai keadaan tanah runtuh berhampiran tapak perkhemahan di Father's Organic Farm, Batang Kali, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 20 DISEMBER 2022.

BATANG KALI – Pihak polis telah mengenal pasti pemilik kepada dua dari tujuh kenderaan di lokasi tragedi tanah runtuh di Father’s Organic Farm di Jalan Genting-Batang Kali di sini, setakat ini.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Suffian Abdullah berkata, salah satu kenderaan terbabit dimiliki seorang pekerja ladang terbabit dan satu lagi milik sebuah syarikat.

“Dua kenderaan telah dikenal pasti di mana salah satunya pemilik merupakan pekerja ladang.

“Satu lagi kepunyaan sebuah syarikat di mana kita sedang membuat siasatan lanjut siapa yang memiliki kenderaan tersebut,” katanya pada sidang media di lokasi tapak perkhemahan Father’s Organic Farm di sini, hari ini.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) baki sembilan mangsa hilang dalam bencana tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Jalan Genting, di sini masuk hari kelima pada Selasa.

Agensi penyelamat melibatkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM).

Turut terlibat Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

Sementara itu, pihak polis tidak menolak kemungkinan untuk memanggil lebih ramai individu termasuk pakar dalam membantu siasatan dalam insiden tanah runtuh terbabit.

“Setakat ini memang ramai pihak telah dipanggil dan kebanyakan yang direkodkan kenyataan itu adalah waris keluarga mangsa.

“Setakat ini tiga pihak sudah dipanggil (pengusaha tapak khemah). Kita tengok kepada siasatan.

“Kita juga perlu mendapatkan laporan daripada pihak yang pakar untuk kita mengemaskini proses siasatan tersebut,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast