Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Selangor, Wan Md Razali Wan Ismail bercakap pada sidang media mengenai keadaan tanah runtuh berhampiran tapak perkhemahan di Father's Organic Farm, Batang Kali, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 20 DISEMBER 2022.

BATANG KALI – Tong, khemah dan selimut, antara peralatan perkhemahan yang menjadi petunjuk baharu dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa tragedi tanah runtuh di Father’s Organic Farm, di sini, hari ini.

Timbalan Pengarah Bomba Selangor, Wan Md Razali Wan Ismail berkata, ketiga-ketiga peralatan perkhemahan yang dipercayai milik mangsa itu ditemui semasa operasi SAR pada sebelah tengah hari tadi.

“Pada tengah hari tadi kita ada jumpa petanda-petanda memberi kita semangat untuk mencari mangsa.

“Kita jumpa tong, bekas khemah di sektor C, jadi kita buat penggalian di kawasan itu.

“Namun negatif, tak jumpa apa-apa (mangsa),” katanya pada sidang media di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, di sini, hari ini.

Terdahulu, Komander Operasi SAR, Superintendan Suffian Abdullah mengesahkan operasi SAR yang masuk hari kelima hari ini gagal mengesan mana-mana sembilan mangsa yang masih hilang dalam tragedi tanah runtuh itu.

Dalam pada itu, pihaknya akan melakukan kerja-kerja mengesan di semua zon berkali-kali dan hanya akan memutuskan untuk menghentikan pencarian itu jika pihaknya berpuas hati.

“Kita akan ulang pencarian (di semua sektor) sampai kita berpuas hati,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast