KUALA LUMPUR – Waris enam mangsa tragedi tanah runtuh di Batang Kali baru-baru ini layak menerima Faedah Pengurusan Mayat (FPM) sebanyak RM2,000 dan Pencen Penakat daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
Salah seorang daripada penerimanya adalah waris kepada Allahyarhamah Nurul Azwani Kamarulzaman, 31 tahun.
Ibu wanita berkenaan, Siti Esah Hassan, 53 tahun telah menerima bayaran FPM dan beliau akan menerima Pencen Penakat sebanyak RM238 yang akan dibayar setiap bulan.
Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar yang hadir menyantuni ibu Allahyarhamah di Kg Batu hari ini berharap faedah daripada Perkeso itu akan dapat membantu meringankan beban waris.
“Perlindungan yang diberikan daripada Perkeso diharap sedikit sebanyak dapat meringankan bebanan yang perlu ditanggung oleh waris yang tinggalkan oleh pencarum,” katanya kepada pemberita.
Turut hadir, Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed.
Mengulas lanjut Sivakumar berkata, penyerahan faedah kepada waris lima mangsa yang lain akan disempurnakan oleh Perkeso dalam masa yang terdekat.
“Pada masa yang sama, Perkeso sedang menyemak jumlah bayaran Pencen Penakat untuk waris setiap mangsa,” jelasnya.
Tambah beliau, Perkeso juga akan meneliti bentuk faedah yang layak diterima oleh tiga orang mangsa yang belum dikenal pasti identitinya.
Sebagai rekod, FPM dan Pencen Penakat yang layak diterima waris mangsa adalah faedah yang disediakan di bawah Skim Keilatan, Akta 4 yang mana orang tanggungan akan menerima bayaran daripada Perkeso berdasarkan caruman kepada Perkeso.
Setakat ini, seramai 24 orang termasuk sembilan kanak-kanak telah terkorban akibat kejadian tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Jumaat lalu.-MalaysiaGazette