case item The Attorney-General’s Chamber (AGC) in Putrajaya. PIX: FAREEZ FADZIL / MalaysiaGazette / 04 NOVEMBER 2020. Hasanah Abdul Hamid US$6.94 million case item MACC MEIO
Jabatan Peguam Negara di Putrajaya.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dikhabarkan sedang mempertimbangkan tiga orang hakim bagi mengisi jawatan Peguam Negara yang baharu dalam masa terdekat ini.

Portal berita FMT melaporkan hari ini, tiga hakim itu Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah, selain dua Hakim Mahkamah Rayuan iaitu Datuk Yaacob Md Sam dan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil.

Sumber yang tidak mahu dinamakan itu berkata, ketiga-tiga hakim itu mempunyai kelayakan mengisi jawatan itu memandangkan mereka mempunyai pengalaman mengendalikan kes jenayah dan sivil, selain ketika berkhidmat dalam badan kehakiman dan perundangan.

“Berpengalaman dan berpengetahuan dalam undang-undang jenayah dan sivil penting kerana Peguam Negara adalah ketua penasihat undang-undang kepada kerajaan.

“Peguam Negara juga adalah pendakwa raya seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Kanun Tatacara Jenayah,” kata sumber itu hari ini.

Untuk makluman juga, Allahyarham Mohtar Abdullah, Tan Sri Mohamed Apandi Ali dan peguam negara ketika ini, Tan Sri Idrus Harun juga adalah bekas hakim yang dilantik menjawat jawatan itu.

Mohamad Zabidin menjawat jawatan pemangku Hakim Besar Malaya susulan kekosongan selepas persaraan Tan Sri Azahar Mohamed, dua bulan lalu.

Beliau pernah dilantik sebagai pesuruhjaya kehakiman pada 2004, sebelum menjadi hakim Mahkamah Tinggi pada 2006, kemudian dinaikkan pangkat menjadi Hakim Mahkamah Rayuan pada 2018 dan diangkat sebagai hakim Mahkamah Persekutuan awal tahun ini.

Yaacob dan Abdul Karim ketika ini adalah Hakim Kanan di Mahkamah Rayuan.

Yaacob dilantik sebagai Pesuruhjaya Kehakiman pada 2009 dan menjadi Hakim Mahkamah Rayuan setahun selepas itu, kemudian menjadi Hakim Mahkamah Rayuan pada 2017.

Abdul Karim pula dilantik Pesuruhjaya Kehakiman pada 2012 sebelum memikul tanggungjawab sebagai Hakim Mahkamah Tinggi pada 2014 dan Hakim Mahkamah Rayuan pada 2016.

Sebenarnya jawatan Idrus dijadual berakhir Mac depan namun beliau sedia melepaskan jawatan itu lebih awal sekiranya Anwar sudah mengenal pasti pengganti bersesuaian. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast