KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini telah memerintahkan Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli untuk menjawab saman dikemukakan ke atasnya oleh Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.
Rafizi membuat dakwaan bekas Menteri itu telah meluluskan projek bernilai RM2 bilion selepas Parlimen dibubarkan.
Mahkamah telah memerintahkan Rafizi yang juga Menteri Ekonomi untuk memfailkan pernyataan pembelaan sebelum 28 Disember dalam pengurusan kes hari ini.
Menurut peguam yang mewakili Rafizi, Nik Zarith Nik Moustpha memberkata mahkamah mengarahkan timbalan presiden PKR itu memfailkan pernyataan pembelaan sebelum 28 Disember ini.
“Tuan Ibrahim juga perlu memfailkan jawapan balas seandainya ada bagi menjawab pembelaan Rafizi, sebelum 11 Jan 2023.
“Mahkamah juga telah menetapkan 25 Jan bagi pengurusan kes seterusnya,” katanya selepas pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar, Idamasliza Maarof.
Sebelum ini Rafizi mendakwa Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) dalam proses menganugerahkan projek tebatan banjir bernilai RM2 bilion secara rundingan terus kepada syarikat dimiliki individu dikatakan mempunyai kaitan dengan pemimpin UMNO.
Rafizi mendakwa dimaklumkan sumber dalam kerajaan yang usaha meluluskan segera projek itu di bawah pentadbiran kerajaan sementara adalah sebagai timbal balas selepas menerima dana untuk digunakan sepanjang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Sehubungan itu, beliau menuntut Tuan Ibrahim menjawab dakwaan berkenaan dan memberi jaminan tidak akan meluluskan sebarang projek dalam tempoh pentadbiran kerajaan sementara, kerana ia bertentangan dengan pekeliling Perbendaharaan.
Tuan Ibrahim sebelum ini menjelaskan, tiada kelulusan boleh diberikan terhadap mana-mana peruntukan kewangan dalam tempoh kerajaan sementara. -MalaysiaGazette