Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof (tengah) menyerahkan sumbangan berjumlah RM1,035,000 kepada 81 pertubuhan Islam bukan kerajaan (PIBK) yang bernaung di bawah MAIS.

KUALA LUMPUR – Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menyerahkan sumbangan berjumlah RM1,035,000 kepada 81 pertubuhan Islam bukan kerajaan (PIBK) yang bernaung di bawah MAIS, baru-baru ini.

Sumbangan disampaikan oleh Pengerusi MAIS, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof dalam perasmian penutup Persidangan PIBK Tahun 2022, di sini.

“Semoga pemberian ganjaran ini akan mendorong semua PIBK MAIS untuk bersama-sama berganding bahu dalam mempertahankan dan memertabatkan kesucian agama Islam di Negeri Selangor,” kata Abdul Aziz.

Sumbangan diberikan berdasarkan komitmen pertubuhan dalam menangani isu berkaitan ancaman akidah dan sosial yang melibatkan umat Islam selain diukur mengikut Penilaian Prestasi dan Keberkesanan Program PIBK MAIS bagi tempoh setahun.

Antara PIBK yang menerima sumbangan MAIS ialah Muslim Care Malaysia Society (Muslim Care), Persatuan Kebajikan Wanita Islam Selangor (Bakewanis), Persatuan Mencegah Dadah Malaysia Negeri Selangor (Pemadam) dan Pertubuhan Pendakwah Darul Ehsan (Daie).

Sehingga kini, jumlah PIBK di bawah MAIS sehingga 31 Disember 2020 adalah sebanyak 97 buah PIBK termasuk empat buah pusat jagaan warga emas, enam buah rumah kebajikan anak yatim dan sebuah Rumah Perlindungan Al-Riqab.

Kesemua PIBK tersebut dibahagikan kepada 10 Kluster iaitu Kluster Dakwah & Islah, Kluster Pemantapan Akidah, Kluster Pemerkasaan Halalan Toyyiban, Kluster Pendidikan Islam dan Kluster Pembangunan Muallaf, dan Kluster Pendidikan Islam.

Selain itu, Kluster Pemulihan Riqab, Kluster Kebajikan Fakir dan Miskin, Kluster Kebajikan Anak Yatim, Kluster Pembangunan Kekeluargaan Islam dan Kluster Amal Makruf Nahi Mungkar.

Persidangan PIBK Tahun 2022 turut dihadiri seramai 300 orang peserta dalam kalangan PIBK, Anggota Jawatankuasa Dakwah Negeri Selangor, Anggota Jawatankuasa Teknikal Pemerkasaan PIBK, ketua-ketua jabatan, bahagian dan anak syarikat MAIS serta masyarakat awam.

Persidangan diadakan bagi memberi peluang dan ruang kepada PIBK untuk bertukar-tukar idea dan pandangan dalam menangani isu-isu semasa ummah yang melibatkan kepentingan Islam di Selangor.

MAIS berharap agar semua PIBK MAIS dapat bersama-sama berganding bahu dalam menjaga, mempertahankan dan memartabatkan kesucian agama Islam selaras dengan hukum syarak. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast