YANGON – Malaysia bermula langkah kanan selepas menewaskan Myanmar 1-0 pada aksi pembukaan Kumpulan B saingan Piala Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) 2022 sekali gus menamatkan badi kekalahan sejak 2016 di Stadium Thuwunnna di sini, hari ini.

Pemain sayap lincah, Mohamad Faisal Abdul Halim dan penjaga gol Ahmad Syihan Hazmi Mohamed  masing-masing muncul wira pasukan negara apabila meledak gol kemenangan dan bertindak cemerlang menyelamatkan sepakan penalti Myanmar pada penghujung perlawanan.

Kemenangan itu memberikan tiga mata penting kepada skuad Harimau Malaya dalam usaha memburu dua slot ke peringkat separuh akhir seterusnya mencuba menamatkan penantian 12 tahun merangkul gelaran kedua kejohanan tertinggi peringkat Asia Tenggara itu.

Bagaimanapun, pada aksi dihadiri 2,500 penonton itu, Malaysia dipaksa bekerja keras di babak pertama apabila perlawanan dikuasai pasukan tuan rumah yang tampil memperagakan permainan hantaran pendek dan pantas ketika memegang bola manakala cepat bertindak untuk menutup ruang ketika bertahan.

Skuad bimbingan Antoine Hey itu memberi amaran awal menerusi percubaan berani dari luar kotak penalti pemain tengah, Lwin Moe Aung pada minit kelapan, namun sedikit tersasar.

Myanmar, bergelar Singa Asia, kemudian mensia-siakan peluang terhidang di depan gol selepas penyerang Aung Kaung Mann lewat melepaskan rembatan berpunca hantaran lintang Moe Aung pada minit ke-19.

Selepas 20 minit pertama buntu mencipta serangan, kesilapan pertahanan Myanmar mengeluarkan bola gagal dalam kotak penalti gagal dimanfaatkan Mohamad Faisal apabila rembatannya dari jarak dekat tersasar.

Kedudukan tanpa jaringan kekal sehingga rehat itu memaksa ketua Jurulatih negara, Kim Pan Gon membawa masuk penyerang naturalisasi, Lee Tuck menggantikan Darren Lok yang menyaksikan pemain kelahiran England itu tidak menunggu lama untuk mencipta impak.

Kepantasannya memintas bola membawa kepada gol tunggal pasukan negara apabila Muhammad Safawi kemudian melorongkan bola kepada Mohamad Faisal yang tenang melepaskan rembatan leret untuk menewaskan penjaga gol, Kyaw Zin Phyo, pada minit ke-52

Tersentak dengan jaringan itu, Myanmar bangkit melancarkan serangan bertali arus dari sebelah kanan dan kiri gawang Malaysia, namun benteng pertahanan diketuai Sharul Nazeem Zulpakar berjaya mematahkan gerakan ke arah gawang pasukan.

Myanmar yang tidak berputus asa hampir menyamakan kedudukan apabila Kyaw Min Oo melepaskan rembatan dari jarak jauh yang memaksa penjaga gol Ahmad Syihan melompat tinggi untuk menepis percubaan berbahaya itu.

Di penghujung perlawanan, kesilapan Sharul Nazeem tertampan bola di tangan hampir mengundang padah apabila pengadil memberikan sepakan penalti kepada Myanmar, namun Ahmad Syihan bijak merebahkan badan di sebelah kanan gawang untuk menepis rembatan Myat Kaung Khant.

Pasukan negara akan meneruskan aksi menentang Laos di Stadium Nasional di Bukit Jalil,Sabtu ini, Vietnam di Hanoi (27 Dis) dan menerima kunjungan Singapura (3 Jan) di Bukit Jalil bagi memburu dua slot teratas Kumpulan B untuk layak ke separuh akhir. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast