BATANG KALI – Mayat mangsa ke-26 yang ditemukan berpelukan dengan bangkai seekor anjing dipercayai miliknya oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) Operasi di lokasi tanah runtuh Jalan Batang Kali – Genting Highlands.
Menurut Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Suffian Abdullah, mayat sudah dibawa keluar dan dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat.
“Bersama mayat adalah bangkai anjing yang telah diserahkan ke Jabatan Veterinar untuk tindakan lanjut,” katanya dalan sidang media mengenai perkembangan terkini SAR di Batang Kali, hari ini.
Untuk rekod, mangsa ditemui pada kedalaman empat meter setengah.
Dalam pada itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Hafisham Mohd Noor berkata, mangsa ditemui di Sektor A dan dibawa arus ke Sektor B.
“Kemungkinan besar dia berkhemah di Sektor A dan dibawa arus ke Sektor B. Saya percayai Sektor B kesemua mangsa berada di situ dan kita akan tumpu ke Sektor A dan C yang mana ada satu lagi mangsa di Sektor A,” katanya dalam sidang media sama.
Jelas Hafisham lagi, Sektor C mempunyai lebih banyak khemah.
Dalam pada itu, Hafisham berkata, SAR dihentikan buat ketika ini kerana hujan lebat.
Tragedi tanah runtuh yang berlaku di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm Gohtong Jaya pada 2.42 pagi Jumaat lalu itu,
JKejadian itu menyaksikan 61 mangsa selamat, 26 nyawa terkorban dan tujuh lagi mangsa masih hilang daripada keseluruhan 94 mangsa yang terbabit.
Perincian mangsa meninggal dunia ialah 13 wanita dewasa, lima kanak-kanak lelaki dan lelaki dewasa serta tiga kanak-kanak perempuan. – MalaysiaGazette