Unit Dron PDRM, Inspektor Alauddin Sallehudin memberi penerangan mengenai paparan langsung dari udara lokasi tanah runtuh menggunakan Dron bagi memantau kerja-kerja menyelamat yang masuk hari ke lima di Father's Organic Farm, Batang Kali, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 20 DISEMBER 2022.

BATANG KALI – Mangsa kanak-kanak yang ditemui lewat malam tadi ditemui pada kedalaman 17 meter.

Kedalaman itu berdasarkan 12 meter tanah yang korek sebelum ini dan menemuinya lima meter di dalamnya.

Ketua Polis Hulu Selangor, Superintendan Suffian Abdullah berkata mangsa yang ditemui semalam dianggar berusia 6 hingga 10 tahun.

“Semalam ditemui satu lagi mangsa kanak-kanak berusia 6 hingga 10 tahun.

“Semasa ditemui mangsa berpakaian tidur warna pink. Mangsa ditemui dalam kedalaman 5 meter dan sudah dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat,” katanya dalam sidang media, pagi ini.

Tambah Suffian, mangsa ditemui di sektor C pada jam 11.20 malam di lokasi pencarian insiden tanah runtuh tapak perkhemahan Father’s Organic Farm Gohtong Jaya.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Selangor, Hafisham Mohd Noor bercakap pada sidang media mengenai keadaan tanah runtuh berhampiran tapak perkhemahan di Father’s Organic Farm, Batang Kali, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 21 DISEMBER 2022.

Turut ditemui bersama mangsa adalah empat buah beg pakaian dan komputer riba.

“Tiada sebarang pengenalan diri ditemui di samping mangsa,” katanya lagi.

Mangsa ditemui menggunakan jengkaut dan bukannya anjing pengesan.

Menurut beliau lagi, operasi mencari dan menyelamat (SAR) hari ini akan fokus kepada sektor C berhampiran sungai.

Ia berikutan keadaan tanah di kawasan tersebut stabil dancuaca yang baik membolehkan misi SAR diteruskan.

Untuk rekod, hari ini adalah hari keenam sejak tanah runtuh pada 2.42 pagi Jumaat lalu.

Menurut Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Hafisham Mohd Noor, kedalam penemuan mangsa hasil daripada pembersihan tanah runtuh berskala 12 meter sebelum ini.

“Sebelum ini kita dah gali, namun rupanya kedalamannya lebih tinggi daripada jangkaan kita.

”Bila kita gali dengan kedalaman lebih 16 meter, air keluar membuak-buak dan mangsa ditemui ditepi batu besar sebab itu proses pencariannya agak lambat,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast