Exco Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Kampung Baru Negeri Selangor, Ng Sze Han menunjukkan pelan lokasi kejadian tanah runtuh di Batang Kali Hulu Selangor di Pejabat SUK Selangor, Shah Alam. Foto AFFAN FAUZI, 21 DISEMBER 2022.

SHAH ALAM – Kerajaan Selangor akan melakukan bancian secara terperinci aktiviti perkelahan dan perkhemahan oleh pengusaha serta operator di kawasan berbukit, hutan dan tepi sungai di seluruh negeri ini.

Exco Kerajaan Tempatan dan Pengangkutan Awam negeri, Ng Sze Han berkata, bancian itu penting untuk membolehkan kerajaan dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mengetahui kawasan yang berisiko dengan bencana alam.

Setakat ini, katanya Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) sudah mengenal pasti sebanyak 61 kawasan telah dijadikan tapak untuk aktiviti itu dan bancian lebih lanjut akan diperluaskan ke seluruh negeri.

“Daripada 61 kawasan ini, kita dapati ada yang mempunyai lesen perniagaan dan ada yang tidak mempunyai lesen.

“Kita akan panggil semua pengusaha dan operator ini untuk mendapatkan maklumat lanjut, termasuk PBT dengan kerjasama Jabatan Perhutanan negeri serta agensi kerajaan negeri akan melakukan siasatan di kawasan itu.

“Siasatan adalah untuk memastikan kawasan itu sesuai digunakan sebagai tapak aktiviti perkelahan mahupun perkhemahan dan turut meminta mereka yang tidak mempunyai lesen agar memohon dengan PBT,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media khas susulan kejadian tanah runtuh di Batang Kali Hulu Selangor di Bilik Mesyuarat MTES Pejabat SUK Selangor, di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau bagi pihak kerajaan Selangor merakamkan rasa dukacita dan kesal dengan kejadian yang meragut puluhan nyawa di Father’s Organic Farm Jumaat lalu.

Kata Sze Han, kerajaan negeri telah mengenal pasti keperluan untuk merangka satu garis panduan khusus bagi aktiviti perkhemahan susulan kejadian tersebut.

“Kerajaan negeri pada mulanya tiada halangan terhadap aktiviti riadah atau rekreasi seperti perkhemahan kerana ia merupakan kegiatan yang sihat dan telah menjadi satu gaya hidup baharu.

“Bagaimanapun, tragedi tanah runtuh itu seharusnya dijadikan iktibar, selain daripada kawalan terhadap perniagaan seumpama itu akan dipantau selepas ini.

“Selama ini, setiap perniagaan telah pun dikawal secara rapi melalui lesen perniagaan yang dimohon, kebenaran merancang dan pelan bangunan serta penguatkuasaan,” ujar beliau.

Namun, katanya, PBT tidak mempunyai syarat khusus bagi aktiviti tapak perkhemahan kerana kegiatan itu adalah sampingan yang dijalankan oleh pemilik resort atau hotel.

Oleh itu, kata Sze Han, kerajaan negeri kini dalam usaha menyegerakan bancian terbaharu terhadap jenis dan jumlah aktiviti perkhemahan serta seumpamanya yang masih tidak dinyatakan serta diklasifikasikan secara jelas dalam kategori perniagaan.

“Selain itu, kita juga sedang mendapatkan maklum balas daripada pemegang taruh aktiviti rekreasi dan perkhemahan seperti pengusaha, persatuan rekreasi serta agensi kerajaan.

“Semua dapatan ini akan membantu kita merangka garis panduan supaya aktiviti perkhemahan dan rekreasi dapat dijalankan dengan selamat serta tidak memudaratkan mana-mana pihak.

“Hanya pengusaha yang patuh kepada garis panduan ini akan diperakui oleh PBT dan Tourism Selangor untuk menjalankan aktiviti berkenaan selepas ini,” katanya.

Ditanya adakah kerajaan negeri akan memanggil pengusaha Father’s Organic Farm, Sze Han berkata, pihaknya menyerahkan sepenuhnya kepada polis untuk menjalankan siasatan dan mengambil tindakan. – MalaysiaGazette