PUTRAJAYA – Pindaan Akta Kerja 1955 telah mewajibkan keperluan mendapatkan kelulusan penggajian pekerja asing daripada Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) di bawah Seksyen 60K (4) yang melibatkan semua kategori pekerja asing di negara ini.
Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar berkata, kewajaran untuk majikan itu adalah kerana terdapat permohonan-permohonan yang ditolak sebelum ini susulan kegagalan majikan mematuhi undang-undang perburuhan.
Beliau berkata, Seksyen 60K(4) Akta Kerja 1955 akan bertindak sebagai saringan awal
yang efektif kepada majikan.
“Ia bagi memastikan majikan-majikan yang bakal menggajikan pekerja asing di negara ini mempunyai rekod yang bersih dari aspek kepatuhan kepada standard-standard perburuhan.
“Imej dan kredibiliti negara telah tercemar dengan isu buruh paksa di mana produk-produk syarikat tempatan yang berkaitan dengan sarung tangan getah dan kelapa sawit telah disekat daripada dipasarkan di Amerika Syarikat oleh pihak US Custom and Border Protection,” katanya pada sidang media di kementerian di sini hari ini.
Pada 30 Mac lalu, Parlimen telah meluluskan Rang Undang – Undang Kerja Pindaan 2022 dan telah diwartakan pada 10 Mei 2022.
Pindaan ini dijadualkan akan berkuatkuasa pada 1 Januari 2023.
Mengulas lanjut, Sivakumar berkata, keperluan untuk saringan adalah bagi mengelakkan majikan, syarikat atau agensi pekerjaan swasta daripada terlibat dengan amalan buruh paksa.
Kata beliau,sebagai contoh pada 15 Disember lalu, JTKSM dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia telah berjaya menyelamatkan 12 orang wanita warganegara Indonesia yang menjadi mangsa pemerdayaan satu Agensi Pekerjaan Swasta (APS) di Klang.
“Ini susulan daripada satu operasi pemeriksaan secara mengejut yang dijalankan oleh JTKSM ke atas 15 APS di seluruh negara.
“Hasil siasatan JTKSM mendapati 12 orang warga Indonesia tersebut telah dijanjikan pekerjaan sebagai Pekhidmat Domestik (pembantu rumah) namun begitu, mereka telah dikurung dalam sebuah unit kondominium milik APS tersebut dengan diawasi oleh dua orang pekerja.
“Siasatan turut mendapati wujudnya indikator buruh paksa dan pemerdagangan orang seperti pengurungan orang, menyekat kebebasan bergerak dan menghalang akses untuk komunikasi dengan orang luar.
“Kesemua 12 wanita tersebut telah ditempatkan di rumah perlindungan manakala APS tersebut dituduh di bawah Seksyen 12Akta Antipemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007,” katanya. – MalaysiaGazette