Islamic preacher Ustaz Ebit Lew sexual harassment charged court
Ebit Lew

TENOM – Seorang saksi kes pendakwah terkenal Ebit Irawan Ibrahim Lew atau Ebit Lew memberitahu Mahkamah Majistret di sini bahawa beliau hari ini buat kali pertama melihat gambar lucah yang didakwa dihantar oleh pengadu kepada Ebit Lew.

Presiden pertubuhan bukan kerajaan Multiracial Reverted Muslims (MRM), Firdaus Wong Wai Hung, saksi ketiga perbicaraan itu, bagaimanapun, berkata beliau tidak pasti sekiranya gambar lucah berkenaan adalah milik pengadu.

Timbalan Pendakwa Raya, Zahida Zakaria dalam pemeriksaan semula, bertanya kepada Wong sekiranya pengadu ada memberitahu telah menghantar gambar lucah kepada Ebit Lew semasa kali pertama Wong dan pengadu bertemu pada 7 Ogos 2021.

“Tidak ada kerana (pengadu) memang tidak pernah memberitahu kepada saya dan saya juga tidak bertanya kepada (pengadu), dan ini kali pertama saya melihat (gambar lucah itu) dan saya pun tidak boleh pastikan adakah itu gambar lucah (pengadu) atau orang lain,” katanya.

Dalam pemeriksaan balas, peguam Ebit Lew, Ram Singh, Wong memberitahu bahawa beliau tidak tahu pengadu telah menghantar gambar lucah kepada tertuduh melalui sebuah telefon bimbit.

Wong juga berkata beliau tidak pasti sekiranya pengadu ada menyatakan dalam laporannya bahawa pengadu telah berkomunikasi dengan anak guam peguam itu sejak Mac hingga Julai 2021.

Ram:Adakah anda bertanya kepadanya sama ada benar dia telah berkomunikasi dengan anak guam saya dari Mac 2021, mengapa dia membuat laporan polis beberapa bulan kemudian iaitu pada 7 Ogos 2021?

Wong: Tidak ada.

Lew, 37, berdepan 11 pertuduhan antaranya mengaibkan kehormatan seorang wanita berumur 40-an dengan menghantar perkataan dan gambar lucah ke nombor telefon mangsa melalui aplikasi WhatsApp antara Mac dan Jun tahun lepas.

Pertuduhan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Majistret Nur Asyraf Zolhani bersambung esok. – BERNAMA