KUALA LUMPUR – Isham Jalil menempelak Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar yang didakwa berada di Auckland, New Zealand ketika negeri itu dilanda banjir teruk.
Banjir besar yang melanda Terengganu kini menyebabkan banyak rumah tenggelam, malah mangsa banjir pun ramai.
“Dulu awak orang yang sibuk kata hujung tahun banjir besarlah, sampai tak nak pilihan raya sebab kononnya banjir.
“Sekarang ni dah betul-betul banjir di negeri awak. Awak pulak takda, pergi ke New Zealand lah, Auckland la.
“Balik segera menteri besar. Bila awak tak ada, bila pemimpin tak ada macam mana. tak bolehlah kita bagi arahan pada orang-orang bawahan dari New Zealand untuk buat kerja.
“Awak kena sendiri ada di Terengganu. Balik dengan segera, rakyat memerlukan pemimpin pada ketika ini,” katanya melalui Facebook.
Sebelum ini, Exco Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga, dan Perpaduan Nasional Terengganu, Hanafiah Mat turut memaklumkan Ahmad Samsuri sememangnya sedang berada di Auckland.
Ketiadaan Menteri Besar Terengganu itu disedari selepas kelibatnya tidak kelihatan semasa Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang melawat pusat pemindahan sementara semalam.
Jumlah mangsa banjir di Kelantan dan Terengganu terus meningkat kepada 40,456 orang. – MalaysiaGazette