KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan selamat berjuang kepada skuad Harimau Malaya yang akan memulakan kempen Piala AFF Mitsubishi Electric 2022 bertemu Myanmar di Yangon, hari ini.
Beliau menaruh keyakinan tinggi bahawa kombinasi muka lama dan baharu yang ditampilkan jurulatih Kim Pan Gon pada edisi kali ini mampu terjemah kualiti dan prestasi terbaik.
“Saya mewakili seluruh rakyat Malaysia mendoakan kejayaan buat skuad Harimau Malaya.
“Berjuanglah sepenuh jiwa demi lencana di dada!” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.
Selepas pertembungan dengan Myanmar, Harimau Malaya bakal berdepan Laos di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini Sabtu ini diikuti Vietnam di Hanoi pada 27 Disember dan kembali ke Bukit Jalil melawan Singapura pada 3 Januari depan.
Skuad kebangsaan bersaing dengan Myanmar, Laos, Vietnam dan Singapura bagi menduduki dua tempat teratas Kumpulan BN bagi layak ke peringkat separuh akhir.
Malaysia pernah muncul juara Piala Tiger pada 2010 dan naib juara sebanyak tiga kali iaitu pada edisi sulung 1996 diikuti 2014 dan 2018.
Selain Malaysia, Thailand pernah menjadi juara sebanyak enam kali, manakala Singapura empat kali dan Vietnam dua kali sepanjang 13 edisi kejohanan bola sepak serantau itu. – MalaysiaGazette