KUALA LUMPUR – Semua pihak termasuk agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), parti politik dan individu perlu menggembleng usaha dan kerjasama bagi membantu menyelesaikan masalah pasca banjir yang dihadapi mangsa-mangsa.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pengalaman yang lalu menunjukkan tiada satu pihak pun yang mampu membantu dan bekerja secara ‘silo’ untuk menyelesaikan masalah pasca banjir yang membelenggui mangsa.
“Lebih baik kita semua fokus membantu, usah pertikai usaha sesiapa dan yang lebih mustahak bekerjasama dan muafakat dalam membantu usaha pasca banjir kelak,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.
Menurut beliau, mangsa lebih terseksa berdepan situasi pasca banjir kerana di pusat pemindahan sementara (PPS), segala-galanya seperti makanan, kelengkapan tidur dan bantuan asas yang lain disediakan oleh kerajaan.
Namun, katanya, apabila air mula surut, mangsa-mangsa banjir akan berhadapan dengan kesukaran besar dalam pelbagai aspek termasuk makan-minum seharian, tempat menginap dan juga kudrat untuk membersih kediaman yang rosak teruk.
“Itu belum lagi membicarakan mereka yang mengalami kemusnahan hampir 100 peratus,” jelasnya. – MalaysiaGazette