PUTRAJAYA – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) memberikan nasihat kepada pendakwah bebas, Ustazah Siti Afifah Shahbudin dan suaminya yang menimbulkan kontroversi dalam menyampaikan dakwah.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar berkata, pihaknya mengambil pendekatan itu sebagai satu cara yang terbaik.
“Mungkin dalam kalangan kita perlu ada pendekatan mungkin dengan cara perbincangan yang baik, teguran, sebab agama Islam ni bentuknya adalah nasihat.
“Jadi saya rasa kita guna approach yang tersebut, harapan kita adalah ustazah yang berkenaan itu dengan perbincangan yang dibuat, nasihat yang diberikan akan dapat mendengar nasihat tersebut dan cari jalan yang terbaik, Insyaallah,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran dan Pelepasan Skuad Musa’adah di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai rakaman yang tular di media sosial apabila memaparkan sepasang penceramah suami isteri yang sering mengeluarkan kenyataan kontroversi termasuk mengancam akan mengambil tindakan undang-undang terhadap agamawan tertentu.
Sebelum ini tindakan Siti Afifah dan suaminya yang didakwa sering mengeluarkan kenyataan mengelirukan membabitkan hukum agama mengundang pelbagai reaksi warganet.
Terbaru, pasangan itu bertindak mengkritik malah mengancam bakal mengambil tindakan undang-undang terhadap agamawan yang menegur mereka.
Semalam, Jakim menerusi kenyataan memaklumkan perkara sama bahawa ia dan pihak berkuasa agama negeri sentiasa membuat pemantauan kandungan berkaitan hal ehwal agama Islam yang dipaparkan kepada khalayak khususnya melalui penggunaan media sosial yang mendapat tempat dalam kalangan masyarakat mutakhir ini.
Menurutnya, Semua pihak khususnya golongan yang bergelar sebagai pendakwah dinasihatkan agar sentiasa menggunakan pendekatan yang sesuai dan berhikmah dalam menyampaikan dakwah.
Kenyataan yang bersifat kontroversi dan boleh menimbulkan kegusaran awam hendaklah dielakkan.
Terdahulu, Mohd Na’im melepaskan konvoi skuad berkenaan yang akan berlepas ke pantai timur bagi misi bantuan mangsa banjir.
Hadir sama pada majlis itu Ketua Pengarah Jakim, Datuk Hakimah Mohd Yusof. – MalaysiaGazette