KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong gembira apabila kerajaan meneruskan komitmen dalam pembinaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) mengikut apa yang telah diputuskan sebelum ini.
Menurut beliau, perkara itu satu berita positif untuk para pelabur dan rakyat khususnya bakal pengguna ECRL setelah ia siap kelak.
“Pada ketika ini, kemajuan projek adalah kira-kira 37 peratus dan kita semua berharap ianya siap mengikut jadual iaitu pada Disember 2026 seterusnya memulakan operasi pada awal 2027,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.
Ka Siong mengulas pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam bahawa projek ECRL diteruskan dengan pengurangan kos kepada RM74.96 bilion berbanding kos asal RM85.97 bilion.
Beliau juga sekali lagi memuji kerajaan negeri Selangor kerana telah bekerjasama rapat dengan kerajaan Persekutuan untuk memuktamadkan Perjanjian Tambahan 6 (SA6).
“Sidang media saya bersama Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin bin Shari pada 2 Disember 2021 membuktikan kesediaan negeri Selangor untuk meneruskan jajaran utara (kini dinamakan penjajaran ECRL 3.0) selepas semua isu tertunggak dengan kebimbangan berhubung kelestarian alam sekitar dan sosial negeri diselesaikan.
“Susulan itu, SA6 telah ditandatangani oleh Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) dan China Communications Construction Company Ltd (CCCC) pada 2 Jun 2022 untuk meneruskan pakej terakhir projek rel sepanjang 665km dengan kos RM50.27 bilion, termasuk jambatan darat yang menghubungkan kawasan pelabuhan Northport dan Westport,” jelasnya.
Ka Siong menambah, secara ringkasnya, RM50.27 bilion adalah kos akhir yang dimuktamadkan oleh Kementerian Pengangkutan, Kementerian Kewangan dan Unit Perancang Ekonomi Jabatan Perdana Menteri bagi projek ECRL setelah semua isu selesai dan rundingan dijalankan.
Beliau memberitahu, angka RM50.27 bilion itu turut dibentangkan kepada Kabinet ketika itu dan seterusnya disahkan oleh Kabinet awal tahun ini.
“Saya tidak dapat mengesahkan kos ECRL pada 2016 sebagaimana yang disebut oleh Perdana Menteri. Walau bagaimanapun, apa yang pasti adalah skop kerja yang terlibat pada masa itu berbeza daripada jajaran sedia ada ketika ini dengan pengurangan ketara dari segi skop kerja pembinaan, walaupun kadar kos seunit kekal sama.
“Bilangan stesen telah dikurangkan, kerja-kerja penambakan tanah pesisir pantai dihentikan pada 2019 manakala hentian terakhir bagi ECRL yang diputuskan adalah Kota Bharu, bukannya Pengkalan Kubor,” katanya. – MalaysiaGazette