KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Tun Razak tidak mahu memberi keterangan lisan sebagai saksi pendakwaan tanpa kehadiran peguam beliau dalam kes pengubahan wang haram dihadapi bekas Ahli Parlimen Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Ab Samad.
Bekas Perdana Menteri itu berkata, beliau akan memberi keterangannya pada 5 Januari depan dengan kehadiran peguam pemerhati, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.
Pada prosiding pagi ini, Najib memberitahu mahkamah kehadiran Muhammad Shafee sebagai peguam pemerhati adalah penting ketika beliau memberi keterangan.
“Saya memohon kepada mahkamah agar saya dapat berikan keterangan pada 5 Januari akan datang. Ketika itu peguam saya akan ada di sini. Ini penting untuk saya, hari ini beliau ada urusan lain dan tidak dapat hadir,” katanya di hadapan Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin.
Shahrir didakwa membabitkan diri dalam pengubahan wang haram dengan tidak melaporkan pendapatan sebenar dalam borang cukai pendapatan dengan tidak mengisytiharkan pendapatan diterima daripada Najib berjumlah RM1 juta melalui sekeping cek yang dimasukkan ke dalam akaun bank miliknya.
Muhammad Jamil kemudian membenarkan permohonan Najib untuk memberi keterangan pada 5 Januari depan.
Shahrir didakwa mengikut Seksyen 4 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM5 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Prosiding bersambung dengan saksi ke-22 pendakwaan, Penolong Penguasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nurzahidah Yacop disoal balas peguam bela Shahrir. -MalaysiaGazette